Sumber ilmu ghaib
Saya menerima satu soalan menarik iaitu: “Apakah hukum amalan menggunakan nombor pada tarikh lahir untuk tujuan mentafsir dan menganalisis kehidupan seseorang contohnya mengetahui status kewangan, keharmonian keluarga, masalah bakal dihadapi dalam tahun yang dianalisis dan pelbagai lagi,”.
Perlu difahami isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, perkara akan datang seperti yang disebut dalam soalan di atas, mengetahui sesuatu mengenai makhluk halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti disumberkan kepada tiga sumber saja iaitu al-Quran, hadis sahih dan Hasan serta fitrah kejadian alam (sunnatullah)
Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Naml ayat 65 yang bermaksud: “Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT.”
# SUNNATULLAH (HUKUM ALAM) BOLEH DIPERCAYAI
Maksudnya adalah mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat daripada satelit maka didapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan. Alah SWT menyatakan: “Andai kata kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, nescaya akan rosaklah langit dan bumi serta seluruh makhluk yang ada di dalamnya,” (al-Mu’minun: 71).
Inilah yang perlu dimaklumi bahawa alam ini dikendalikan dengan undang-undang dan hukum yang tetap, tidak pernah berubah dan berganti. Ini sebagaimana dinyatakan al-Quran dalam beberapa ayat, antaranya: “Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti,” (Fathir: 43). Hasil daripada kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan akidah. Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mengetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagainya amat bercanggah dengan hukum Islam.
Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah’ atau tajribah (percubaan dan analisa) pun ia tidak boleh sama sekali. Ini kerana, analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti saintifik dan fizikal seperti ramalan cuaca melalui maklumat lengkap daripada kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden serta visual dari satelit. Begitu juga khasiat kayu-kayan tertentu untuk mengubati penyakit, menghalau binatang tertentu dan sebagainya. Ia juga bersifat fizikal iaitu kepada kayu tersebut dan bauan atau warnanya.
Kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang didakwa boleh mengetahui kejadian akan datang akan jadi kaya atau terus miskin dan sebagainya bukan daripada sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh yang kayu dan ramalan cuaca tadi. Hal seumpama ini tidak boleh sama sekali diramal menggunakan tarikh lahir.
# NABI PUN TIDAK MENGETAHUI YANG GHAIB
Nabi Muhammad SAW datang dan ditemuinya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara ghaib baik masa lalu mahupun akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya. Justeru, baginda mengisytiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syarak. Rasulullah SAW membacakan kepada mereka wahyu Allah SWT yang berbunyi: “Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah SWT semesta,” (an-Naml: 65).
Bukan malaikat, jin dan manusia yang mengetahui perkara ghaib. Rasulullah SAW juga menegaskan mengenai dirinya dengan perintah Allah SWT sebagai berikut: “Kalau aku dapat mengetahui perkara ghaib, nescaya aku dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan aku tidak akan ditimpa suatu musibah, tidak lain aku hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mahu beriman,” (al-A’raf: 188).
Oleh kerana itu, barang siapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib, termasuk perkara akan datang dan lain-lain, bererti dia mendustakan Allah SWT, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia.
# JANGAN JADI BOMOH TIDAK RASMI
Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Rasulullah SAW. Mereka menganggap baginda seorang yang mengaku mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada baginda: “Tahukah tuan apakah ini?” Rasulullah SAW menjawab dengan tegas: “Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka.” Inilah yang dilakukan oleh bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti meramal di mana boleh ditemui orang hilang, meramal melalui tarikh lahir, jumlah huruf pada nama seseorang malah ada kalanya menyalahgunakan nombor surah al-Quran untuk tujuan ramalan mereka. Memang tabiat bomoh atau dukun akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita mengenai perkara akan datang. Biasanya dakwaan itu bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan pembohongan dan manusia mempercayai ramalan bomoh terbabit.
Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini kerana bomoh kadang kala menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah SWT tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya sesuatu perkara lalu dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan maka tidak diterima solatnya selama 40 hari,” (Riwayat Muslim).
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Barang siapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad SAW,” (Riwayat al-Bazzar dengan sanad yang kuat; berkata al-Haithami perawinya sahih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117; Muntaqa, 2/791).
Semoga kita semua terselamat daripada kesesatan dan kebahayaan syirik. Perlu diingat di sini, perkara syirik sebegini, sengaja melihat dan menganalisa untuk tujuan ‘suka-suka’ juga diharamkan. Ia perlu dijauhi sejauh-jauhnya.
- METRO AHAD