Tarikan luar biasa Abu Dhabi


Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

Ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi kini sudah jauh berubah dan bakal menjadi bandar termoden di negara tersebut mengatasi Dubai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Walaupun Abu Dhabi merupakan negeri terkaya dan terbesar di UAE, nama Dubai lebih dikenali ramai sehingga ramai beranggapan Dubai adalah ibu negara UAE kerana pembangunan ekonomi serta liputan meluas yang diberikan terhadap bandaraya tersebut.

Bagaimanapun, keadaan itu bakal berubah tidak lama lagi apabila pemerintah Abu Dhabi mengambil keputusan untuk memajukan bandar itu menjadi destinasi pelancongan mewah bertaraf dunia dalam masa terdekat dan pembangunan rancak sedang berlaku.

Daripada sebuah bandar yang hanya dipenuhi padang pasir dan bandar kecil yang menjadi kediaman para menteri serta duta-duta asing, Abu Dhabi kini mengorak langkah untuk menjadi sebuah bandar raya moden dengan fasiliti berkelas pertama.

Pemandangan yang terdapat di bandar tersebut kini jauh berbeza dengan bangunan-bangunan pencakar langit berbentuk moden tumbuh melata dengan semuanya dihubungkan oleh sistem lebuh raya moden yang dipantau oleh kamera.

Semasa membuat liputan penerbangan sulung Air Asia X ke Abu Dhabi baru-baru ini, penulis begitu kagum apabila melihat terdapat pelbagai projek mega sedang berjalan dengan rancak hampir di setiap inci tanah di bandar tersebut dan semuanya baru dimulakan dalam tempoh kurang daripada lima tahun.

Salah sebuah kawasan yang sedang rancak dibangunkan ialah pulau Yas Island yang terletak di lokasi strategik antara bandar Abu Dhabi dan Dubai. Tiga tahun lalu, pulau seluas 2,500 hektar itu yang dulunya hanya padang pasir berubah sekelip mata menjadi sebuah destinasi pelancongan mewah dengan usaha gigih selama 24 jam tanpa henti oleh lebih 40,000 pekerja binaan yang terdapat di pulau tersebut.

Tarikan utama yang terdapat di Yas Island ialah Ferrari World Abu Dhabi (FWAD) yang terletak bersebelahan dengan litar Formula Satu (F1) Yas Marina dan tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi (LTAAD).

Taman tema

Apa yang menarik, FWAD merupakan taman tema dalam bangunan terbesar di dunia dan yang pertama pernah dibina oleh Ferrari di dunia dan ia tidak dibina di negara asal syarikat pengeluar kereta dari Itali itu tetapi di Abu Dhabi.

Semasa lawatan tersebut, penulis dan beberapa wartawan dari Malaysia antara yang terawal diberikan peluang menontot klip video singkat mengenai FWAD dan ia sudah cukup mengujakan penulis walaupun belum merasai pengalaman sebenar di taman tema berkenaan.

Menurut Pengarah Jualan FWAD, Fabien Laurent, FWAD bukan sekadar taman tema biasa tetapi bakal memberikan pengalaman mengujakan kepada pengunjung tentang keghairan Ferrari dalam dunia permotoran.

Katanya, terdapat lebih 20 tarikan dalam taman tema tersebut yang akan memberikan keseronokan dan kepuasan tidak terhingga kepada pengunjung apabila ia dibuka pada pertengahan tahun 2010 selepas mula dibina pada 2006.

''Antaranya ialah permainan roller-coaster terlaju di dunia iaitu Twin GT Ferrari 430 coaster yang akan memberikan pengalaman memandu kereta F1 Ferrari dengan kelajuan mencecah 200 kilometer sejam, sama seperti kereta lumba sebenar di trek sepanjang 5.5 kilometer dan permainan G-Force setinggi 60 meter.

''FWAD juga akan memberikan pengalaman berada di Itali menerusi taman Itali mini yang dibina di dalam taman tema ini," katanya pada satu sidang media tidak rasmi kepada wartawan dari Malaysia.

Pada masa depan, banyak lagi projek-projek baru berkelas dunia akan dibina di Yas Island seperti Warner Bros Theme Park, Links Golf Course, Aquaminums dan Waterfront Apartments serta beberapa buah lagi hotel sebagai tambahan kepada hotel-hotel sedia ada.

konsep

Malah, sebuah bandar bebas karbon pertama di dunia iaitu Bandar Masdar sedang dibina di Abu Dhabi dan ia antara ratusan projek berkonsepkan masa depan yang sedang dibangunkan di situ. Kata orang, jika ada wang, apa sahaja boleh dimiliki dan ia dibuktikan oleh Abu Dhabi yang kaya dengan hasil minyak petroleumnya.

Di sebalik semua tarikan terbaru serba moden itu, Abu Dhabi turut menawarkan pengalaman merentasi bukit pasir di Gurun Rub al-Khali yang merupakan gurun terluas di dunia kepada para pelancong dan bagi penulis, ia merupakan satu pengalaman yang hebat.

Menaiki, menurun dan menyusuri bukit pasir yang begitu cerun sehingga 90 darjah dengan kenderaan pacuan empat roda mungkin agak menggerunkan sehingga ada beberapa wartawan yang termuntah tetapi ia suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Apatah lagi, dapat melihat matahari terbenam dan menikmati hidangan BBQ di khemah orang Badwi pada sebelah malamnya selepas penat merentasi bukit pasir.

Tidak sah kunjungan ke Abu Dhabi sekiranya tidak singgah melawat Masjid Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan yang menjadi kebanggaan penduduk Abu Dhabi. Masjid berwarna putih yang tersergam indah itu mengambil sempena nama pengasas dan presiden pertama UAE yang jasadnya disemadikan di perkarangan masjid tersebut. Masjid itu dibuka secara rasmi pada bulan Ramadan 2007 dan ia digelar sebagai Masjid Agung oleh penduduk tempatan.

Uniknya juga, masjid ini mempunyai sebanyak 57 kubah yang dihias dengan batu marmar putih manakala bahagian laman dalamnya pula diturap dengan mozek dan marmar berwarna-warni terbentang seluas 17,000 meter persegi. Satu fakta menarik yang perlu diketahui tentang masjid ini ialah permaidini yang terbentang di dalamnya adalah yang terbesar di dunia dengan ukuran 5,627 meter persegi.

Pembinaan masjid ini diilhamkan sendiri oleh Sheikh Zayed dan beliau mahu semua pengunjung termasuk bukan Islam dibenarkan memasuki masjid supaya mendapat pemahaman sebenar tentang Islam yang menggalakkan ilmu serta keamanan dan bukannya keganasan.

Selain itu, terdapat juga beberapa tempat menarik lain seperti Falcon Hospital, Muzium Istana Sheikh Zayed, Kota al-Jahili, Jebel Hafeet, Zoo dan Akuarium al-Ain serta Pasar Unta al-Ain, Muzium Taman Khalifa, Muzium Sejarah Kebangsaan Universiti al-Ain, Kubu Qasr al-Hosn, Pulau al-Reem, Futaisi, Lulu, Sir Bani Yas dan Pulau Saadiyat yang boleh dilawati pengunjung yang berkunjung ke Abu Dhabi.

Bagi mereka yang suka membeli belah, Marina Mall tidak mengecewakan anda kerana pelbagai produk fesyen dari Paris boleh didapati pada harga yang murah di sini.

Apa pun, sepanjang lima hari penulis berada di Abu Dhabi, apa yang mengagumkan penulis tentang bandar ini ialah pemandangan menghijau yang terdapat di negeri tersebut walaupun ia merupakan antara kawasan di dunia yang menerima taburan hujan paling rendah.

Pemandangan tersebut mungkin biasa di negara kita tetapi ia merupakan satu nikmat bagi penduduk Abu Dhabi kerana segala pokok-pokok dan rumput yang tumbuh menghijau itu tidak akan berada di situ jika tidak kerana kekayaan negeri tersebut.

Ramai tidak menyedari di celah-celah pokok tersebut sebenarnya terselit paip air sepanjang beribu kilometer yang mengalirkan air laut yang diproses bagi memberikan kehidupan kepada pokok tersebut.

Satu perkara lagi yang menarik perhatian penulis mengenai Abu Dhabi ialah semua pekerja dalam bidang perkhidmatan dan perniagaan diisi oleh pekerja asing sehinggakan semua pemandu teksi dan pekerja premis perniagaan di bandar itu terdiri daripada orang asing.

penduduk

Ini kerana penduduk tempatan sudah terlalu kaya dan mereka ini sama ada menjadi pemilik perniagaan atau bekerja dalam agensi kerajaan manakala semua kerja dilakukan oleh pekerja-pekerja asing yang banyak datangnya dari Asia dan Afrika. Sebahagian besar datang dari India, Pakistan dan Filipina. Difahamkan, terdapat lebih 50 bangsa asing tinggal serta bekerja di Abu Dhabi dan mereka ini mewakili 85 peratus daripada populasi penduduk bandar tersebut.

Seorang ahli perniagaan yang ditemui penulis semasa berada di Abu Dhabi memberitahu bahawa Abu Dhabi adalah gabungan antara Asia dan Eropah kerana ia menggunakan teknologi Eropah dan buruh dari Asia untuk membangunkan bandar berkenaan.

Kesan daripada percampuran budaya ini menjadikan anak-anak muda Abu Dhabi unik dari segi budaya dan mereka ini bertutur dalam bahasa 'rojak' yang banyak dipengaruhi bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tagalog. Proses pemodenan Abu Dhabi turut menyebabkan golongan remaja Abu Dhabi dilanda kegilaan berfesyen termasuk memandu kenderaan-kenderaan mewah seperti Ferrari, Porsche, Maserati, Lamborghini, Bentley dan Ford Mustang.

Bagi penulis, Abu Dhabi merupakan sebuah destinasi pelancongan yang amat menarik serta mengagumkan dan bakal menjadi sebuah pusat pelancongan berteraskan kebudayaan yang termasyhur di dunia suatu masa kelak dengan mengambil kira projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di situ. Kedudukannya juga tidak jauh dari Dubai dan hanya memakan masa perjalanan selama sejam menggunakan lebuh raya.

Abu Dhabi merupakan laluan pertama AirAsia X ke Timur Tengah dan dengan tambang rendah yang ditawarkan, pelancong kini berpeluang untuk melawat Abu Dhabi serta Dubai dalam masa yang sama dengan hanya membayar untuk satu penerbangan sahaja. Kini sesiapa pun boleh terbang ke Timur Tengah.

Mereka yang berminat untuk bercuti ke Abu Dhabi boleh melawati goholiday.airasia.com untuk mengetahui pakej-pakej hotel yang disediakan.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url