Transisi urban TV9

Empat tahun bersiaran, TV9 tidak pernah lari daripada sasaran asal mereka. Kekal menghiburkan penonton Melayu, TV9 yang kini sedang melalui arus perubahan biarpun telah menimbulkan kekeliruan mungkin mahu mengubah subjek sasaran.
Kini lebih urban, ramai yang berpendapat perubahan itu adalah kerana TV9 mahukan lebih ramai audiens bandar dan moden berbanding lebih digemari penonton di desa sebelum ini. Hakikatnya, persepsi itu salah kerana TV9 selama ini tidak pernah membezakan para penontonnya.
Bagi TV9, mereka mahukan sasaran audiens Melayu secara keseluruhan. Cuma perubahan yang berlaku adalah untuk memperbaiki kualiti program mereka. Kata Ketua Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul, "Mungkin ada orang berkata kami telah lari daripada sasaran awal.
"Namun, dari dulu kami mahukan penonton Melayu dan bukannya penonton Melayu luar bandar tetapi secara keseluruhan. Pada permulaannya, program kami mungkin lebih menarik perhatian penduduk luar bandar. Kini, selepas mengembangkan sayap, kami sudah mempunyai permintaan. Jadi kami perlu memenuhi kehendak penonton."
Selain mempelbagaikan seleksi programnya, TV9 juga akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program baru setiap bulan bermula Januari ini. Apa yang boleh disaksikan di kaca TV termasuk Ekspedisi Chef Wan, i-Glam (dihoskan oleh Nora Danish), Sari Maya 2, Knight Rider serta segmen baru dalam program lama TV9, Galaksi dan Pondok-Pondok.
Walaupun memperkenalkan program-program baru yang lebih urban, TV9 tidak pernah mengurangkan rancangan berbentuk ilmiah. Ini kerana TV9 tidak mahu menghapuskan identiti serta program yang sudah menjadi ikon kepada stesen tersebut.
"Sejak tahun lalu lagi kami sudah mula melakukan perubahan. Namun, ini tidak bermaksud kami mengurangkan program-program ilmiah kerana itu merupakan rancangan ikon kami. Bagi TV9, kami sentiasa melindungi program-program serta bakat yang popular di stesen kami. Nantikan Akademi Al-Quran tahun ini," jelas Rozaina lagi.
Selain program agama, TV9 juga terkenal dengan tayangan program kanak-kanak. Malah siaran setiap hari dari pukul 2 hingga 5.30 petang dikhususkan kepada penonton cilik. Jika dibahagikan mengikuti sasaran penonton, TV9 kini menawarkan 30 peratus rancangan kanak-kanak, 20 peratus program agama, lapan peratus program hiburan dan selebihnya adalah drama.
"Kami perlu menyeimbangkan program kami. Kini kami sudah kukuh di mata penonton kecil. Jadi kami perlu menarik juga audiens remaja di bawah usia 35 tahun. Jika tidak nanti wujud jurang penonton.
"Itulah sebab utama kami memperkenalkan program berbentuk majalah kecantikan, i-Glam. Kami mahu memberikan sesuatu kepada penonton setiap peringkat usia," tambahnya.
- KOSMO!
