Tun Ghazali - Perginya seorang negarawan

Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya.

Ghazali, 88, meninggal dunia di rumahnya di Wangsa Baiduri, Subang Jaya kira-kira 7.45 malam, kata anak saudaranya, Adam Azman.

Jenazah Ghazali kini ditempatkan di rumah adik perempuannya, Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama.

Menurut Adam, jenazah Allahyarham akan dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Al-Mujahiddin Damansara Utama pada 8 pagi esok.

Jenazahnya akan disembahyangkan sekali lagi di Masjid Negara sebelum solat Zohor esok sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Antara kenamaan yang menziarahi jenazah Allahyrham di kediaman adiknya malam ini ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Ghazali yang dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang meninggalkan dua orang anak lelaki iaitu Bachtiaer dan Sheriffudin.

Isteri beliau Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008.

Ghazali ialah ahli politik yang berkhidmat dari era Tunku Abdul Rahman hingga Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut digelar 'King Ghaz' kerana tegas dalam menjalankan tugas-tugasnya.

Allahyarham mula berkecimpung dalam bidang politik dengan menyertai Persatuan Melayu Pahang pada 1946 yang pada mulanya melakukan kerja-kerja kebajikan sebelum diserap memasuki UMNO.

Pada tahun 1958 beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Politik UMNO sehingga 1978.

Beliau pernah beberapa kali menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan merupakan Naib Presiden UMNO pada 1981.

Ghazali pernah dilantik sebagai Senator pada tahun 1970 hingga 1972.

Allahyarham bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1974 di kawasan Parlimen Lipis di mana beliau menang tanpa bertanding.

Beliau memulakan kerjaya dengan kerajaan pada 1941 sebagai ahli Pasukan Sukarelawan Malaya.

Pada tahun 1961, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Projek untuk penubuhan Malaysia dan menganggotai Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 untuk penubuhan Malaysia.

Ghazali mula menjawat jawatan dalam Kabinet apabila dilantik menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas pada 1970 dan pada tahun 1971 diberi tambahan tugas sebagai Menteri Penerangan di samping Menteri Tugas-Tugas Khas.

Pada tahun 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan dan pada 1981 pula diberi tanggungjawab sebagai Menteri Luar sebelum meletak jawatan dari Kabinet pada tahun 1984.

Selepas keluar dari perkhidmatan kerajaan, Ghazali menyertai sektor swasta dan pernah memegang jawatan Pengerusi beberapa syarikat seperti Paremba, Landmarks Holdings Bhd. dan MUI Finance.

Dalam bidang sukan pula, Allahyarham merupakan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) dari 1962 hingga 1988.

Pada 10 Jan 1982, beliau yang ketika itu selaku Menteri Luar Negeri terselamat apabila pesawat Cessna yang dipandunya dari Kuala Lumpur menuju Kuala Lipis terhempas di Kampung Janda Baik sehingga mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbang.

King Ghaz seorang yang tegas

Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Muhammad Ghazali Shafie adalah seorang yang dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.

Bagi mereka yang mengenali beliau termasuk para wartawan yang pernah menemuramah beliau, Ghazali sentiasa mengharapkan agar mereka mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya pada beliau.

Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan.

Allahyarham berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dikenali di peringkat antarabangsa ketika menjadi Menteri Luar selain berkhidmat dalam beberapa pertubuhan dan misi antarabangsa.

Ghazali terselamat dalam suatu kemalangan kapal terbang di Kampung Janda Baik pada 10 Januari 1982 yang mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbangnya; peristiwa yang mengejutkan negara pada masa itu.

Anak kelahiran Kuala Lipis pada 22 Mac 1922 ini mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu dan Inggeris di sekitar Raub, Kuala Lipis, Bentong dan Penjum sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Lipis pada 1939 hingga 1940.

Pada 1941, beliau melanjutkan pendidikan di Raffles College, Singapura sebelum ke London di mana beliau menerima Ijazah LLB (Kepujian) di University College of Wales dan kemudian mendapat ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa di London School of Economics pada 1954.

Dari 1941 hingga 1946, beliau berkhidmat dalam beberapa pasukan pertahanan termasuk Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun.

Ghazali yang pernah bekerja sebagai seorang kerani di Selangor dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India pada 1957 dan kemudian menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri pada 1959 dan menjadi menteri di kementerian yang sama dari Julai 1981 sehingga Julai 1984 sebelum meletakkan jawatan pada bulan yang sama.

Salah satu tugas penting yang dipegangnya dalam sejarah negara ialah menganggotai Suruhanjaya Cobbold mengenai pembentukan Malaysia.

Satu lagi sumbangan besar beliau kepada negara adalah berhubung pembentukan Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Perkhidmatannya dalam Kabinet agak lama bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan pada April 1972.

Kira-kira 16 bulan kemudian beliau diberikan kepercayaan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, di mana jawatan Menteri Dalam Negeri itu dipegangnya sehingga Julai 1981 apabila beliau bertukar ke jawatan Menteri Luar.

Setelah meletak jawatan daripada Kabinet pada Julai 1984, Allahyarham menumpukan perhatian pada bidang lain yang menyaksikan beliau menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa.

Dalam bidang politik tanah air, beliau pernah menjadi anggota Majlis Tertinggi UMNO, anggota Parlimen Kuala Lipis, Ketua UMNO Bahagian Kuala Lipis, anggota jawatankuasa veteran Umno, tetapi pernah tewas untuk jawatan naib presiden parti pada 1972 dan 1975.

Namun beliau memenangi jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan pada 1981.

Sumbangannya juga agak besar dalam beberapa bidang tertentu termasuk menjadi ahli pengasas dan presiden pertama Galeri Seni Negara pada 1959, Ahli Majlis Pengelola Universiti Malaya, Ahli Majlis Gerakan Negara (Mageran), Pengerusi Majlis Pengelola Institut Teknologi Mara, Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli pengasas Malayan Forum, United Kingdom.

Kepakarannya dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga pengerusi suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme ASEAN.

Allahyarham yang pernah menjadi penasihat khas kepada Perdana Menteri mengenai hal ehwal luar serta pernah bertugas sebagai perunding World Bank Economic Development Institute.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url