Tune Money sasar 300,000 pemegang kad

Tune Money Sdn. Bhd., (Tune Money) kini berbincang dengan rakan potensi di Indonesia dan Thailand untuk melancarkan perkhidmatan kewangan dalam talian menjelang penghujung tahun ini.
Sekiranya perbincangan itu berjaya, Tune Money menjangkakan jumlah pengguna pemegang kad prabayar Visa Tune Money akan mencecah 300,000 orang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joyce Lai berkata, ketika ini, bilangan pemegang kad prabayar Tune Money adalah seramai 55,000.
Lai berkata: ‘‘Dengan penjenamaan semula kad itu, kami yakin untuk mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang penghujung tahun ini.
“Penjenamaan semula Tune Money melibatkan kad prabayar Visa Tune Money kini dikenali sebagai ‘Kad Tune In’ yang disasarkan kepada dua golongan pelanggan,” kata beliau selepas majlis penjenamaan semula kad prabayar Visa Tune Money di sini hari ini.
Lai menambah, proses penjenamaan semula meliputi pengenalan dua kad iaitu Kad Tune In dan Kad Pulse untuk remaja berumur 15 hingga 17 tahun.
Kedua-dua kad itu ditaja jamin oleh Visa selain turut ditawarkan pelbagai kemudahan lain yang dinaik taraf seperti rangkaian produk insurans dan takaful, insurans motor, insurans kediaman dan insurans kemalangan peribadi.
Menurut Lai, bersempena dengan pelancaran imej barunya itu, Tune Money akan memberi 10,000 kad prabayar Tune secara percuma yang dikecualikan yuran kemasukan sebanyak RM12 bermula hari ini sehingga 31 Januari nanti.
Beliau berkata, dua kad yang dilancarkan itu merupakan pilihan yang lebih murah berbanding kad kredit yang kini mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak RM50 untuk setiap kad selain yuran tahunan dan kadar faedah sehingga 18 peratus setahun.
Tambahnya, penggunaan kad itu diterima di 29 juta kedai di seluruh dunia selain menawarkan diskaun segera di kedai terpilih serta sistem mata ganjaran menarik di samping pengeluaran wang tunai boleh dilakukan di mana-mana mesin juruwang automatik (ATM) yang memiliki logo Visa di seluruh dunia.
Selain itu Lai berkata, pemegang kad tersebut boleh menggunakan kemudahan Gerbang Tukaran Kewangan (FXP) untuk menambah nilai kad Tune atau membeli produk insurans atau takaful.
“Buat masa ini kami mempunyai perjanjian FPX dengan CIMB, Maybank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Bank Islam selain perkhidmatan perbankan dalam talian CIMB Clicks,” katanya.
Tune Money boleh dilayari di http://tunemoney.com
- UTUSAN

