Tunku Ismail dimasyhur Tunku Mahkota Johor
Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, diisytiharkan Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Besar di sini, pada jam 3.20 petang.
"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor.
"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah Perenggan 1, Fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tuboh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.
Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenan dilantik sebagai waris takhta Johor dan turut melafazkan taat setia untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab dengan jujur serta ikhlas selain mendoakan kesejahteraan ayahanda baginda Sultan Ibrahim dan bonda baginda, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris serta rakyat Johor.
Istiadat pemasyhuran itu turut disaksikan kerabat diraja lain dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot membacakan doa sejurus istiadat pemasyhuran selesai.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Prof Dr Jamilah Ariffin; barisan Exco serta Anggota Dewan Undangan Negeri Johor serta pegawai kerajaan.
Tunku Ismail, 26, dilantik Tunku Mahkota Johor menggantikan Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor, Sabtu lalu. Pemasyhuran bagi mewarisi takhta Johor itu berikutan kemangkatan nenda baginda Sultan Iskandar, Jumaat lalu.
Diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru, Tunku Ismail adalah putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.
Tunku Ismail dilantik Raja Muda Johor ketika ulang tahun keputeraan nenda baginda Almarhum Sultan Iskandar pada 8 April 2006.
- BERNAMA