25 anggota KDRM kawal 368 penerbangan

Bagaimana 25 anggota penguat kuasa Bahagian Narkotik Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bersama Anjing Pengesan (K9) yang sudah tua mampu mengawal tiga lapangan terbang utama negara daripada dibolosi oleh pengedar dadah antarabangsa?

Agak mustahil, tapi itulah hakikatnya. Persoalan yang menjadi kebimbangan KDRM itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah KDRM Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Mohamed Khalid Yusuf .

Menurutnya, dengan kemampuan terhad, semua anggota penguat kuasa Bahagian Narkotik KDRM itu terpaksa mengawal keseluruhan tiga lapangan terbang antarabangsa di negara ini.

Katanya, lapangan terbang itu iaitu Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Skypark Subang.

"Ini memang tugas berat kerana jumlah itu (25 anggota) ditugaskan untuk memeriksa 368 penerbangan antarabangsa setiap hari di pintu masuk ketiga-tiga lapangan terbabit.

"Lebih menyukarkan apabila setiap pesawat dianggarkan membawa 100 hingga 150 orang penumpang bagi setiap penerbangan bergantung kepada saiz pesawat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini kebimbangan sama pernah didedahkan Mohamed Khalid dalam satu laporan Utusan Malaysia pada 21 Januari lalu berhubung kegiatan penyeludupan dadah menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit yang kini berada pada tahap menakutkan.

Sehubungan itu, jelas beliau, pihaknya akan mengenal pasti penerbangan yang berisiko tinggi untuk diberi keutamaan bagi menjalankan pemeriksaan ketat.

"Dengan keupayaan ini, pihak KDRM bertindak mengawal serta memeriksa penumpang yang datang dari negara dan tempat berisiko tinggi seperti Chennai dan New Delhi (India), Kuwait, Iran, Dubai dan beberapa lagi negara lain," ujarnya.

Mohamed Khalid berkata, pihaknya telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam usaha memperketatkan serta memperkukuhkan kawalan di ketiga-tiga lapangan tersebut daripada dibolosi oleh pengedar dadah antarabangsa.

Katanya, KDRM akan mengubah modus operandi dengan meningkatkan jumlah anggota penguat kuasa narkotik dari beberapa negeri untuk memberikan perhatian di tiga lapangan terbang berkenaan.

"Terbaru kami telah membeli lima ekor anjing K9 berharga RM80,000 yang diimport dari negara Thailand menerusi Perlis baru-baru ini," katanya.

Tambahnya lagi, pembelian anjing itu adalah salah satu langkah bagi membantu pasukan penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan serta mematahkan cubaan penyeludupan dadah secara efisien.

"Kami terpaksa membeli lima ekor anjing K9 itu bagi menggantikan anjing yang sudah tua" jelasnya.

"Anjing terlatih itu mahal jika ingin diimport daripada Amerika Syarikat (AS) kerana ia berharga AS$20,000 (RM68,415) bagi setiap seekor.

"Lagipun anjing K9 dari AS ini tidak sesuai untuk digunakan di negara ini memandangkan cuaca kita yang berlainan dan memerlukan penjagaan yang begitu rapi serta memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Ditanya keberkesanan penggunaan K9 dalam membantu operasi pencegahan ini, Mohamed Khalid menjelaskan, K9 terbahagi kepada dua jenis iaitu proaktif dan pasif.

"Bagi yang bersifat proaktif, anjing itu akan mencakar bungkusan atau tempat di mana dadah itu disembunyikan, manakala yang bersifat pasif ia akan duduk di hadapan lokasi di mana dadah disembunyikan.

"Yang pasif ini jika kita menariknya sekali pun ia tidak berganjak," jelasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url