Dilempar bom api kerana tolak cinta
Satu daripadanya meletup dan menyebabkan beberapa barangan yang diletakkan di luar rumah mangsa hangus dan api berjaya dipadamkan beberapa jiran menyedari kejadian itu.
Difahamkan, ketika kejadian, kira-kira jam 4 pagi, seorang jiran yang pulang dari kerja ternampak kelibat dua lelaki menunggang sebuah motosikal melontar dua objek ke rumah berkenaan.
Menyedari kejadian itu, jiran berkenaan menghampiri dua lelaki itu dan menyergahnya menyebabkan suspek melarikan diri.
Mangsa, Nor Syafawani Zakaria, 18, berkata ketika kejadian, dia dan ibunya, Sayani Ismail, 40, serta dua adik berusia 10 dan 14 tahun sedang tidur.
Katanya, mereka terkejut apabila terdengar jeritan jiran memaklumkan rumah mereka terbakar.
"Saya kemudian mengejutkan ibu serta adik-adik dan melihat api sedang marak tetapi dalam keadaan panik kami tidak dapat mencari kunci rumah dan hanya mampu menjerit meminta tolong.
"Kami sekeluarga bersyukur kerana beberapa jiran berjaya memadamkan api sebelum mereka menyuruh kami bertenang dan mencari kunci rumah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Nor Syafawani berkata, dia mengesyaki perbuatan itu mungkin angkara bekas teman lelakinya kerana sehari sebelum kejadian, suspek mengajaknya keluar tetapi dia menolak dengan alasan tidak menyukai lelaki itu.
Katanya, suspek sebelum ini pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan
mengugut akan membakar rumahnya jika dia menolak cintanya.
"Dia ada memberitahu saya supaya tidak menyesal jika berlaku apa-apa tetapi saya tidak hiraukan ugutannya kerana tidak fikir dia boleh bertindak seperti ini," katanya.
Berikutan kejadian itu keluarga berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, kira-kira jam 5.26 pagi, Jumaat lalu.
Bapa mangsa, Zakaria Ahmad, 45, berkata, ketika kejadian dia bekerja syif malam di sebuah kilang tayar di Mergong dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Nor Syafawani yang menghubunginya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu dan kes masih disiasat.
- BERITA HARIAN