Ego atasi keinginan lelaki rawat penyakit
Bagaimana pula dengan kaum lelaki? Adakah mereka terbuka untuk berbuat demikian apatah lagi jika penyakit itu berkaitan dengan seksual dan urologi? Atau lebih tepat lagi, sanggupkah anda bertemu pakar untuk mendapatkan nasihat profesional andai mempunyai masalah sedemikian?
Persoalan yang menarik kerana lelaki secara keseluruhan jarang mengambil berat mengenai tahap kesihatan mereka dan kurang kesedaran berbanding wanita. Seperkara lagi lelaki biasanya enggan mengakui kelemahan diri apatah lagi jika berkaitan dengan kekurangan dari sudut keupayaan seksual.
Perunding Pembedahan Urologi, Prof. Madya George Lee Eng Geap mengakui kaum lelaki tidak begitu peka perihal penyakit sambil menarik perhatian empat sebab mengapa mereka bersikap demikian.
Pakar dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan Kuala Lumpur menghuraikan sebab-sebab itu iaitu:
- Malu
Sikap malu menjadi sebab utama lelaki enggan bertemu doktor apabila mengalami masalah. Mereka risau jika keadaan mereka diketahui oleh rakan, saudara atau jiran dan menjadi bualan orang ramai.
- Takut
Sukar dan takut menerima hakikat mereka sakit. Kebanyakan berfikiran kalau ditakdirkan sudah sampai ajal (akibat diserang penyakit), maka mereka akan mati tanpa mahu berusaha mengubati penyakit tersebut.
- Tidak tahu
Tidak seperti kebanyakan penyakit yang menyerang wanita, penyakit lelaki kurang dihebahkan. Kita sering mendengar kempen kanser payu dara, kanser pangkal rahim dan sebagainya, tetapi kurang kempen prostat dan masalah lelaki yang lain.
- Tidak kisah
Jika diadakan kempen pun, mereka tidak kisah. Tidak seperti wanita yang aktif untuk menyertai sebarang aktiviti berkaitan dengan kesihatan mereka.
Tanggapan
Prof. Lee berkongsi penglibatan awalnya dalam bidang urologi. Niatnya kerana ingin memecah tembok kepercayaan lelaki yang tidak selesa membicarakan masalah kesihatan mereka apatah lagi bila menyentuh mengenai masalah seksual dan urologi.
Di awal pertemuan, beliau merujuk kepada tempoh hayat manusia di seluruh dunia. Secara umumnya jangka hayat wanita lebih panjang berbanding lelaki sebanyak lima tahun.
Di Malaysia sendiri, katanya, secara purata hayat wanita sehingga 75 tahun manakala lelaki 70 tahun tetapi adakah gambaran itu bermakna lelaki lemah.
Tahap kesihatan lelaki dilihat daripada dua aspek iaitu semula jadi (nature) dan penjagaan (nurture).
Semula jadi menurutnya, adalah faktor genetik yang tidak boleh diubah tetapi penjagaan perlu dititikberatkan untuk kehidupan yang lebih berkualiti.
"Wanita biasanya menghidap banyak penyakit, tapi peratus survivor adalah lebih tinggi manakala lelaki kurang dibebani penyakit, namun mereka kerap menemui ajal akibat penyakit yang menyerang secara senyap dan tiba-tiba," katanya.
Sikap
Semua ini kata beliau bergantung kepada sikap lelaki itu sendiri yang tidak suka diri mereka menjadi bahan bualan. Semestinya keadaan itu berkait rapat dengan psikologi lelaki yang dirumuskan oleh pakar perubatan itu sebagai sangat kompleks.
Lelaki akan rasa malu seandainya rakan-rakan mengetahui mereka mempunyai masalah kesihatan apatah lagi yang berkaitan dengan seksual.
Sebab itu dalam kes pasangan yang tidak mempunyai anak, wanita sering dipersalahkan biarpun ia mungkin disebabkan suami tidak subur.
Senario itu, menurut Dr. Lee adalah biasa biarpun masyarakat semakin terbuka tetapi mereka tetap meletakkan kesalahan kepada wanita.
Soal tahap kesedaran mengenai penyakit lelaki juga boleh dilihat menerusi jumlah jumlah Pakar Sakit Puan (Ginekologi) yang lebih ramai berbanding Pakar Urologi atau Sakit Tuan.
Di GIMC sendiri, pakar Urologi hanya sekitar lima orang manakala pakar Ginekologi jumlahnya dua kali ganda.
"Keterbukaan wanita menyebabkan mereka selesa berbicara dengan pakar Ginekologi lelaki mengenai masalah berkaitan seksual mereka tetapi lelaki pula sebaliknya. Tidak hairanlah jika negara ini hanya mempunyai seorang pakar Urologi wanita," katanya.
Kaedah psikologi terbalik
Meneruskan perbincangan mengenai tahap kesedaran lelaki mengenai kesihatan mereka, Dr. Lee sambil tersenyum mengakui secara dasarnya lelaki adalah insan yang sensitif dan mengambil berat.
Justeru untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang penjagaan kesihatan diri perlu menggunakan psikologi terbalik (reverse psychology). Misalnya, peringatan mengenai kesan kepada isteri dan keluarga akibat ketiadaan mereka kelak.
Mereka akan diingatkan tentang isteri dan anak-anak yang terpaksa meneruskan hidup bersendirian jika ditakdirkan mereka meninggal dunia.
Dr. Lee mengambil contoh mudah keberkesanan kempen yang dijalankan di United Kingdom.
Kempen yang berbunyi, "Anda akan mati jika memandu dalam keadaan mabuk" kurang berkesan berbanding mesej "Anda akan membunuh isteri dan anak seandainya memandu dalam keadaan mabuk."
Pendekatan
Ditanya pendekatan yang digunakan dalam merawat pesakit lelaki, beliau berkongsi rahsia iaitu dengan menganggap mereka sebagai kawan dan berkongsi masalah dengan mereka.
"Kerana itu saya cipta ruang yang lebih selesa untuk mereka mendapatkan rawatan di sini kerana pesakit lelaki mementingkan suasana," katanya.
Prof. Lee juga menyarankan agar pesakit lelaki yang mengalami masalah membawa rakan ketika mendapatkan nasihat profesional seandainya mereka malu.
"Kadangkala rakan mereka yang akan menjelaskan mengenai masalah tersebut. Lelaki biasanya lebih selesa memberitahu rakan," katanya.
Menyentuh sikap wanita yang tidak kisah dengan ruang dalaman klinik, katanya, lelaki akan berfikir berkali-kali untuk mendapatkan rawatan di klinik andainya mempunyai jururawat wanita dan poster di sekeliling pula hanya mengenai penyakit wanita.
Seksual lelaki dan urologi
Bercerita lebih lanjut mengenai masalah urologi. Dr. Lee menegaskan, ia berkait rapat dengan kesihatan seksual lelaki.
Tiga masalah kesihatan utama yang sering menyerang lelaki adalah berkaitan dengan kardio (jantung), risiko kanser dan kesihatan seksual serta penjagaan prostat.
Antara masalah seksual yang biasa dialami oleh lelaki adalah jangkitan penyakit seksual (STD), mati pucuk (ED), ejakulasi pramatang (PE), kemandulan, saiz dan bentuk zakar serta testis.
Manakala urologi pula seperti batu karang, kanser prostat, kanser testikular, pembesaran saiz prostat dan pelbagai lagi.
Lelaki muda, menurut beliau, malu untuk bertemu doktor sekiranya mempunyai masalah dengan alat kelamin mereka. Sedangkan perlu diingat kanser testikular hanya berlaku di kalangan lelaki muda.
Kebiasaannya pesakit hanya datang bertemu beliau ketika penyakit sudah pun melarat.
- MINGGUAN MALAYSIA