Kalimah Allah: Antara dakwah akidah dan dakwah siasah
Pakar Rujuk
Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya
Istilah “dakwah” lazimnya kita fahami sebagai usaha atau kegiatan menyebarkan fahaman dan pengajaran agama, khususnya agama Islam. Tetapi dengan bergeloranya kontroversi penggunaan kalimah Allah semenjak akhir-akhir ini, saya mendapat kesan bahawa istilah “dakwah” itu tidak semestinya membawa pengertian keagamaan sahaja.
Sebaliknya, di samping “dakwah” untuk tujuan-tujuan keagamaan ada juga kegiatan “dakwah” untuk tujuan-tujuan yang tidak berkaitan agama.
Kerana itulah saya ingin berhujah bahawa secara konsepsual kita perlu membezakan antara “dakwah akidah” dengan “dakwah siasah.” Yang pertama itu merujuk kepada kegiatan-kegiatan dakwah untuk menyebarkan kepercayaan dan pengajaran agama, manakala yang satu lagi bertujuan untuk menangguk keuntungan-keuntungan politik walaupun kadang-kadang dengan menggunakan isu-isu atau istilah-istilah agama.
Ada dua peristiwa yang menyebabkan saya semakin yakin bahawa dua corak “dakwah” tersebut perlu dibezakan. Peristiwa pertama ialah rentetan “Muzakarah Pakar: Terjemahan ‘God’ sebagai ‘Allah’ – Mengenal Pasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya” anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) 21 Januari yang lalu.
Yang kedua ialah dua artikel yang masing-masing ditulis oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tersiar dalam akhbar The Asian Wall Street Journal, 26 Januari 2010.
Antara pakar yang menjadi pembicara utama dalam muzakarah anjuran IKIM tersebut ialah mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri yang berpendapat “adalah berbahaya untuk mengharamkan secara mutlak orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.” Tetapi “untuk menghalalkannya secara mutlak juga berbahaya. Yang kita tentang bukan use (penggunaan) tetapi misuse (penyalah gunaan),” tegas Dr. Asri.
Pada amnya, sebahagian besar pembicara dalam muzakarah itu memang merasa bimbang bahawa “kebebasan” menggunakan kalimah Allah itu akan disalahgunakan untuk melakukan kegiatan-kegiatan yang merugikan Islam.
Dan tidak kurang membimbangkan ialah bila kalimah Allah telah “bebas” digunakan oleh orang bukan Islam, maka ini akan diikuti dengan kebebasan menggunakan kalimah-kalimah tauhid yang lain yang bukan sahaja akan mengurangkan “kecemburuan” umat Islam untuk mempertahankan agama mereka, tetapi seterusnya akan memudahkan usaha-usaha memurtadkan individu-individu Islam. Dalam perbilangan Melayu, ini dirujuk sebagai “lulus jarum lulus kelindan.”
Dengan nada “bimbang” yang sedemikianlah seorang pembicara lain, Dr. Mohd Sani Badron (Felo Kanan IKIM) menyatakan rasa hairan kenapa tiba-tiba penganut Kristian berkenaan hendak menggunakan kalimah “Allah” sebagai terjemahan kepada perkataan “God”. “Apakah niat yang sebenarnya?" tanya Dr. Mohd Sani.
Profesor Dr. Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengulangi rasa musykil Dr. Mohd. Sani itu dengan menanyakan “apakah hasrat tersirat yang lain” di sebalik keinginan penganut Kristian itu menggunakan kalimah Allah.
Kemusykilan dan rasa bimbang yang sama disuarakan oleh seorang Felo IKIM yang lain, Md. Asham Ahmad dengan kata-kata yang lebih tegas lagi: “Menterjemahkan God dengan ‘Allah’ merupakan terjemahan yang salah. Kalimah ‘Tuhan’ sebenarnya sudah memadai untuk tujuan itu, dan kedegilan mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ dilihat sebagai penzahiran permusuhan terhadap agama Islam melalui serangan terhadap keutuhan Bahasa Melayu itu sendiri.”
Seorang pakar yang lain, Dr. Muhammad Nur Manuty yang hadir sebagai wakil pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan pendapat yang berbeza dan pada zahirnya lebih “terbuka.” Beliau berpendapat bahawa “mereka (penganut agama Kristian) berhak menggunakan kalimah Allah tetapi dengan syarat dan ikatan.” Agak dikesalkan kerana beliau tidak menjelaskan apa “syarat dan ikatan” itu dan bagaimana hendak melaksanakan atau menguat kuasakannya.
Yang jelas dapat disimpulkan, pada pandangan pemimpin PKR itu tidaklah merugikan umat Islam jika orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Sebaliknya kata Muhammad Nur, keinginan penganut Kristian hendak menggunakan kalimah Allah itu, patut dijadikan “peluang untuk menerangkan tentang keindahan Islam.”
Adakah ini bermakna bahawa selama ini kita tidak berpeluang menerangkan “keindahan Islam” kepada orang bukan Islam semata-mata kerana mereka tidak menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada “Tuhan” menurut kepercayaan mereka? Bagaimana pula hendak menerangkan “keindahan Islam” kepada penganut-penganut agama-agama lain yang memanggil “Tuhan” mereka dengan berbagai-bagai panggilan yang berbeza?
Pembicara-pembicara pakar yang lain nampaknya lebih bimbang dengan “hasrat tersirat” pihak-pihak tertentu yang sengaja hendak mengambil peluang untuk menyerang Islam dan “menggodam” Melayu semasa bangsa Melayu yang mengalami pecah belah sekarang. Manakala Dr. Muhammad Nur yang mewakili PKR nampaknya lebih berminat untuk memikat sokongan orang-orang bukan Melayu dengan memperlihatkan sikap yang lebih liberal.
Sehubungan itu, saya turut musykil dan terkilan bila mengingat tulisan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dalam The Asian Wall Street Journal (26 Januari) yang antara lain mendakwa: “Malaysia sering gagal memberi persekitaran yang selamat dan terpelihara untuk perlindungan golongan-golongan minoritinya.” (Malaysia frequently fail to offer a safe and secure environment that accomodates its minority communities).
Satu lagi kenyataan rakan dan pemimpin Dr. Muhammad Nur dalam usaha memancing sokongan golongan agama lain yang kononnya tidak mendapat perlindungan dan tidak mendapat keadilan di bawah pemerintahan Melayu/Islam.
Di sinilah saya melihat perbezaan antara “dakwah akidah” dengan “dakwah siasah.”
- UTUSAN