Kes Dadah Meningkat Dengan Penambahan Penduduk

Penyalahgunaan dadah oleh mereka yang ingin meneroka nikmat sementara tanpa menghiraukan kemudaratan yang bakal dialami, memaksa kerajaan tampil dengan pelbagai kempen dan undang-undang untuk mengekang gejala ini daripada terus berlaku.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Datuk Abd Bakir Zin berkata penagihan dan penyalahgunaan dadah semakin meningkat setiap tahun hasil daripada pertambahan penduduk dan peningkata kadar bilangan rakyat yang tidak berpendidikan tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata golongan yang tidak berpendidikan tinggi ini lazimnya menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja am seperti buruh kasar, nelayan dan sektor perladangan.

"Golongan seperti ini lazimnya mudah terpengaruh, dan sering terdedah kepada anasir negatif, termasuk pengaruh luar yang diperkenal oleh rakan sebaya atau golongan lebih dewasa," kata Abd Bakir dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Usaha Banteras

Abd Bakir berkata dalam usaha membanteras penagihan dan penyalahgunaan dadah, pelbagai langkah diambil, termasuk mewujudkan penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan berkesan.

"Selain undang-undang yang tegas iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, AADK juga menyerahkan draf Akta Bahan-Bahan Khayal kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak tahun lepas, dan berharap agar ia boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan pada tahun ini juga," katanya.

Menurut beliau, akta itu khusus untuk menangani masalah atau gejala menghidu bahan yang mengkhayalkan seperti gam yang sebelum ini tidak dianggap sebagai satu kesalahan kerana tidak termaktub di dalam Akta Dadah Berbahaya.

Ditanya mengenai jumlah penagih yang wujud di Malaysia ketika ini, Abd Bakir berkata jumlahnya menjangkau 40,247 orang meliputi jumlah penagih berdaftar dan penagih yang diserahkan oleh kerajaan kepada AADK untuk tujuan rawatan.

"Ini berbeza dengan tahun 2008 apabila AADK merekodkan jumlah penagih berdaftar seramai 12,500," katanya.

Mengulas mengenai peningkatan jumlah itu, beliau berkata ia terhasil daripada operasi bersepadu secara besar-besaran yang disertai AADK.

"Mana-mana penagih yang dikenal pasti, akan dimasukkan ke Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) mengikut apa yang ditetapkan oleh pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan terhadap mereka," katanya.

Abd Bakir berkata kerajaan menyediakan 29 Puspen seluruh negara termasuk Puspen khas untuk menangani penagih juvana, wanita dan penagih dadah ATS.

Tempoh Rawatan

"Tempoh rawatan untuk setiap penagih mengambil masa di antara enam bulan hingga dua tahun mengikut tahap ketagihan dan ia juga akan ditentukan oleh pegawai perubatan," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai peranan AADK sejurus selepas penagih dibebaskan daripada Puspen memberitahu bahawa AADK menganjurkan pelbagai program berbentuk kemahiran khususnya di Institut Kemahiran dan Latihan Sepang (Ikhlas).

"Cuma yang menjadi masalah apabila para pelatih yang telah mendapat kerja dengan kemahiran ini, akhirnya berhenti kerja kerana ia tidak sesuai dengan jiwa dan kehendak mereka," katanya.

Antara kursus yang ditawarkan jelas Abd Bakir termasuk elektrikal, pembinaan bangunan, landskap, jahitan dan pelbagai kursus jangka pendek.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata AADK turut tidak mengenepikan tanggungjawab sosial dengan menyumbang khidmat nasihat terhadap penubuhan Rumah Komuniti di daerah tertentu.

Rumah Komuniti

"Rumah Komuniti ini seperti pusat khidmat daerah yang ditubuhkan oleh AADK di lokasi tertentu untuk memberikan sesi kaunseling, bantuan kepada keluarga yang mempunyai masalah melibatkan dadah dengan anak-anak mereka.

"Cuma bezanya ia ditubuhkan oleh komuniti di kawasan berkenaan yang berfungsi sebagai petempatan sementara untuk bekas penagih sebelum mereka `kembali' sepenuhnya ke pangkuan masyarakat," katanya.

Beliau berkata setiap penagih dibenarkan menghuni rumah itu selama enam bulan sebelum perlu keluar mencari jalan hidup dan punca pendapatan sendiri.

"Tidak seperti anggapan orang ramai, AADK tidak bersikap lepas tangan terhadap pelatih yang telah dibebaskan dari Puspen, Kami membuat pemantauan berterusan selama enam bulan hingga dua tahun terhadap setiap pelatih, dan hanya selepas itu mereka `dilepaskan' untuk mencari jalan hidup sendiri," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url