Guru Besar Dan Pengetua Dapat Iimbuhan Jika Berjaya Lonjakan Prestasi Sekolah Mulai Tahun Depan
Timbalan Perdana Menteri Tan sri Muhyiddin Yassin berkata penilaian prestasi akan mula dilakukan tahun ini dengan setiap pencapaian sekolah akan menjadi kayu pengukur terhadap prestasi guru besar ataupun pengetua.
"Malah bukan sahaja kepada pengetua ataupun guru besar, imbuhan itu juga akan turut dirasai oleh guru-guru di sekolah yang terlibat dan ini akan memberikan galakan kepada golongan tersebut untuk berusaha lebih keras bagi meningkatkan prestasi sekolah masing-masing," katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kecemerlangan pelajar Yayasan Terengganu kali ke 31 dan program Juara Rakyat peringkat Parlimen Kuala Terengganu di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak memperjelaskan bentuk ganjaran atau insentif yang akan diberikan nanti.
Sementara itu, Muhyiddin turut memuji kerajaan negeri Terengganu kerana memberikan komitmen yang besar terhadap bidang pendidikan dengan mengiktiraf negeri itu sebagai peneraju bidang pelajaran di negara ini.
"Ini dapat dilihat melalui peruntukan besar kepada bidang pendidikan selain memberi bantuan kepada pelajar memperoleh buku elektronik dan imbuhan kecemerlangan," katanya.
Katanya, komitmen itu menjadikan Terengganu berjaya muncul sebagai negeri yang mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama sembilan tahun berturut-turut.
Di samping itu, katanya, negeri itu berjaya melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Palajaran Malaysia (STPM).
Muhyiddin berkata walaupun, tidak ada sekolah di Terengganu yang disenaraikan antara 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini, namun itu tidak bermakna kerajaan meminggirkan sekolah di negeri itu.
"Banyak sekolah di negeri ini yang mencapai tahap cemerlang, namun tidak disenaraikan dalam sekolah SBT kerana masih mempunyai kekurangan dalam satu dua perkara.
"Namun dengan adanya usaha gigih semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan pelajar itu sendiri, saya pasti, lebih banyak sekolah di negeri ini akan tersenarai pada masa akan datang," katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 106 buah sekolah cemerlang di kawasan Kuala Terengganu dan menyampaikan sumbangan cek sebanyak RM100,000 dari Jabatan Perdana Menteri kepada Persatuan Pengusaha Keropok Losong.
Sumbangan itu diterima oleh Pemangku Pengerusinya Abu Bakar Yusof.
- BERNAMA