Ops Sikap Ke-21 Kerapkan Rondaan Di 377 Lokasi Bahaya
Serentak itu, tindakan tegas akan dikenakan termasuk menyaman kenderaan yang melanggar peraturan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan bertambah, sekaligus mengurangkan kejadian kemalangan maut pada setiap musim perayaan.
Timbalan Ketua Trafik Persekutuan, Asisten Komisioner Fuad Abdul Latif berkata, pihaknya mahu pengguna lebih menyedari bahaya menimpa jika memandu tanpa mematuhi peraturan ditetapkan termasuk memandu melebihi had laju.
Beliau dengan nada tegas mahu menurunkan kadar kemalangan jalan raya musim perayaan Tahun Baru Cina ini dan tidak mahu pengguna berdepan dengan kesedihan berikutan ada anggota keluarga mereka maut dalam kemalangan pada musim perayaan berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Ops Sikap ke-21 di sekatan jalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kampung Mentara dekat sini, beliau berkata pihaknya sudah mengeluarkan 20 saman ke atas kenderaan yang memandu lebih had laju hanya dua jam selepas melancarkan Ops Sikap itu, di Gua Musang.
Fuad berkata, bagi melancarkan lagi Ops Sikap terbabit, lebih 5,000 anggota trafik bertugas sepanjang operasi berkenaan kerana dijangkakan lebih tiga juta kenderaan melalui Jalan Persekutuan untuk pulang ke kampung.
Katanya begitu juga perjalanan semula warga kota ke tempat kerjanya yang boleh berlaku kesesakan dan memerlukan kawalan anggota trafik tanpa berdepan dengan kejadian tidak diingini.
"Kita mahu pengguna lebih berhati ketika membuat perjalanan pulang ke kampung dan sebaliknya pada musim perayaannya dan ingatkan orang tersayang dengan memandu secara lebih sopan serta mematuhi peraturan.
"Kalau boleh kita mahu kurangkan kadar kemalangan maut dan tidak mahu mengulangi kejadian kemalangan maut membabit 221 orang pada musim perayaan Aidilfitri tahun lalu," katanya.
Beliau berkata dalam Ops Sikap itu, tumpuan utama pemeriksaan dibuat ke atas pengangkutan awam khususnya bas ekspres tetapi tidak dengan melakukan di sekatan jalan raya bagi mengelakkan kesesakan.
"Kita memeriksa bas ekspres di terminal yang disediakan supaya pengangkutan awam itu patuh kepada peraturan termasuk ada pemandu kedua yang boleh membantu semasa perjalanan jauh dan menjamin keselamatan penumpang," katanya.
- BERNAMA