Jangan Percaya Dakwaan Mengelirukan Mengenai Penapis Air

Persatuan Pengguna-Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan syarikat-syarikat yang menjual alat penapis air dengan dakwaan yang meragukan.

Setiausaha Agungnya, S. Piarapakaran berkata, antara dakwaan itu ialah sistem imun badan dapat dipertingkatkan, mengurangkan alahan dan menyingkirkan bahan-bahan toksik daripada air itu.

Dalam satu tinjauan, WECAM juga mendapati sebuah syarikat mendakwa bahawa alat tapisannya boleh “memecahkan molekul-molekul air menjadi partikel-partikel kecil agar ia mudah diserap oleh tubuh”, katanya.

Ini, jelas beliau, adalah dakwaan palsu kerana molekul air yang dipegang oleh pengikat hidrogen tidak boleh dirungkai oleh mana-mana proses penapisan.

Piarapakaran berkata, tinjauan itu juga mendapati penggunaan penapis-penapis air semakin meningkat di Malaysia dan dakwaan palsu oleh syarikat-syarikat itu semakin menjadi-jadi.

"Trend ini amat membimbangkan dan pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan kepentingan para pengguna dilindungi,” katanya.

– BERNAMA

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.