Saya menyesal - Pijah


Setelah seminggu Noorlaili Hafizah Omar, gadis ayu berusia 19 tahun menghilangkan diri untuk berkahwin dengan lelaki warga Indonesia, malam semalam dia akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya.

Ternyata ikatan keluarga telah menyelamatkan dirinya daripada terjerat dalam perangkap cinta sehingga sanggup meninggalkan keluarga dan merancang untuk berkahwin lari di Jawa Timur.

Dia yang lebih mesra dipanggil Pijah pulang seorang diri dari tempat persembunyian di sebuah kawasan setinggan di Sungkai, Perak. Teman lelakinya yang dikenalinya sejak enam tahun lalu pula dikatakan telah kembali ke negara asalnya.

"Sehari sebelum bertolak ke Indonesia, hati Pijah begitu berat untuk terus ikut Abang Jo (nama teman lelaki). Pijah mula fikir keluarga terutama emak yang menghidap sakit mental. Akhirnya Pijah pilih untuk pulang kepada keluarga," kata Pijah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini hari ini.

Sambil sesekali berlinangan air mata, Pijah berkata, dia menyesal kerana telah menyusahkan keluarga dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu.

"Bagi Pijah cinta itu buta, apatah lagi kalau melibatkan rakyat asing. Ia akan menyusahkan keluarga dan orang lain kalau salah bertindak," ujarnya yang mengakui Abang Jo seorang yang baik.

Kehilangan Pijah pada 12 Februari lalu hanya disedari oleh kakaknya setelah terbaca nota: "Abah mulai hari ni, Pijah tak balik rumah sebab ikut Abang Jo pergi Indonesia, kami nak kahwin di sana."

Menceritakan perjalanan hidup selama seminggu bersama lelaki warga Indonesia itu, Pijah berkata, mereka berdua tinggal di sebuah rumah setinggan yang disewa dari rakannya di Sungkai, Perak.

"Pada hari kejadian (12 Februari), Pijah naik LRT di Stesen Melati seorang diri dan berjumpa dengan Abang Jo di Stesen Pasar Seni. Kami dah berjanji jumpa di sana.

"Dari situ kami beli tiket bas ke Sungkai dan malamnya kami sampai di sana," tambahnya.

Mengenai perancangan melarikan diri ke Indonesia, Pijah berkata, mereka sepatutnya bertolak pukul 5.30 pagi Rabu lalu melalui jalan sungai kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Walaupun hasrat berkahwin dan tinggal bersama Abang Jo di Indonesia telah dirancang sejak dua tahun lalu, tapi bila fikirkan ibu bapa dan keluarga, hati Pijah berubah," katanya.

Akhirnya, pada pukul 8 malam semalam, dia menaiki bas seorang diri untuk pulang ke pangkuan keluarganya.

Pada sidang akhbar itu, Pijah yang sebelumnya kelihatan tenang dan petah bercakap terus mengalirkan air mata apabila melihat bapanya, Omar Mahmud, 56, dan adik beradik.

Mereka sekeluarga kemudiannya berpelukan sambil Pijah tidak putus-putus memohon maaf.

Ditanya sama ada jiran di rumah sewa mereka di Sungkai mengenalinya selepas membaca berita kehilangan itu, Pijah berkata: "Mereka tak kenal pun. Lagipun rakan-rakan tak dapat hubungi Pijah sebab sudah beri telefon bimbit kepada Abang Jo. Pijah tahu berita kehilangan ini pun dari rakan Abang Jo yang datang ke rumah kami Selasa lalu."

Pijah berkata, sejak tiga bulan lalu, dia mula mengeluarkan pakaiannya sedikit demi sedikit dari rumah sebagai persiapan untuk ke Indonesia.

Dalam pada itu, Pijah turut menasihati para remaja supaya tidak mengikut jejak langkahnya dan menurut kehendak hati dalam membuat sesuatu keputusan.

Dia juga berharap pengalamannya itu menjadi pengajaran kepada gadis-gadis Malaysia supaya tidak mudah terperangkap dengan cinta warga asing.

Pijah yang suka menyanyi turut berharap dapat menyertai program hiburan realiti TV3, Mentor jika diizinkan oleh bapanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh yang menggerakkan usaha mencari Pijah meluangkan masa kira-kira sejam melawat Pijah dan keluarganya tengah hari ini.

Lelaki Indonesia peramah, rajin

Penuh pengertian, peramah dan rajin bekerja!Itu antara pandangan beberapa warga Indonesia tentang sikap lelaki dari negara itu yang dikatakan mampu memikat hati wanita tempatan.

Khadeja Rini, 26, dari Medan, berkata, layanan yang diberikan oleh lelaki Indonesia terhadap wanita mempunyai perbezaan dengan lelaki tempatan.

''Lelaki Indonesia melayan wanita dengan penuh pengertian, sopan dan pandai menjaga hati pasangannya.

''Namun itu tidak bermakna lelaki tempatan tidak bagus, cuma cara mereka menunjukkan kasih sayang mungkin berbeza berbanding lelaki Indonesia yang lebih terbuka," ujarnya.

Sementara itu, Fatkhurrahman, 36, dari Gombong, Jawa Timur pula berpendapat, sikap rajin dan tidak melepaskan peluang yang berada di depan mata merupakan antara tarikan yang ada pada lelaki Indonesia.

''Kami datang ke Malaysia untuk bekerja dan asalkan kerja itu halal, pasti kami sanggup lakukannya dan mungkin ini yang dinilai wanita tempatan sehingga nekad memilih lelaki Indonesia," katanya.

Menurut Dwe Purwanto, 34, rasa kasih sayang dan bertanggungjawab yang dimiliki pemuda senegaranya dikatakan antara punca mengapa gadis tempatan mudah terpikat.

''Lelaki di Malaysia dan Indonesia sebenarnya sama sahaja namun mungkin lelaki Indonesia lebih bertanggungjawab dan penuh dengan rasa kasih sayang sehingga perwatakan mereka ini mampu memikat hati wanita tempatan," ujarnya.

Heru Sukoco, 25, dari Banyu Wangi, Jawa Timur pula berkata, tidak semua pemuda Indonesia mempunyai sikap yang mampu memikat hati wanita tempatan.

''Perkara ini subjektif dan bergantung kepada individu. Jika sudah suka, semua yang buruk pasti akan dikatakan baik. Jadi terpulang saja kepada mereka," ujarnya.

Dalam pada itu menurut Anita Prihatin, 35, dari Nadiun Jawa Timur, tiada perbezaan antara lelaki walau dari negara mana pun asalnya.

''Lelaki di mana juga negara sama sahaja tetapi apa yang saya perhatikan lelaki Malaysia lebih mesra dan memahami wanita berbanding lelaki Indonesia.

''Walau bagaimanapun, ini cuma pandangan sahaja, jika sudah tertarik, apa pun akan jadi mudah," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Isnin, 23 April 2012 pada 10:08:00 PG SGT

    Hai Pijah...awak ni cantik, kenapalah pilih mamat Indon?kan ada ramai lelaki budiman di Malaysia?

Add Comment
comment url