Tuntut ganti rugi jika mungkir janji kahwin

Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI
Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah,
Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

"Sampai hati awak tiba-tiba berubah hati! Pelamin dah sedia, kad jemputan sudah diedar, tiba-tiba tak nak kahwin dengan saya." Mungkin inilah kata-kata berbaur kecewa yang terluah daripada pihak yang menjadi mangsa mungkir janji untuk berkahwin.

Bukan sahaja mangsa akan berasa sedih dan kecewa, tetapi juga berasa malu dan menanggung kerugian dari sudut wang ringgit dan material. Sesetengahnya akan mengalami trauma untuk jangka masa tertentu dan ia pastinya akan turut dialami oleh ahli keluarga lain terutama ibu bapa dan adik-beradik.

Jangan menganggap kekecewaan dan kerugian ini sebagai suatu kemalangan yang perlu ditanggung deritanya oleh pihak mangsa tanpa sebarang pembelaan undang-undang. Berdasarkan kepada mafhum ayat al-Quran dalam surah al-Maidah, ayat satu yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu...", Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan satu seksyen dalam perkara pertunangan berkenaan dengan remedi terhadap pemungkiran janji untuk berkahwin.

Seksyen berkenaan memperuntukkan bahawa: "Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa apa-apa sebab yang sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan mahkamah".

Perkahwinan bukan perkara main-main yang boleh dipandang ringan. Ia melibatkan nasib, malah setiap inci perkara dalam kehidupan seseorang dalam meneruskan rutin hariannya. Disebabkan ia suatu perkara yang amat penting, maka agama Islam menyediakan satu medium yang tujuannya adalah untuk memberi tempoh kepada kedua-dua pihak berkenalan dan melihat sejauh mana wujudnya potensi keserasian kepada pihak-pihak yang terlibat untuk membina rumah tangga dan keluarga. Baginda Rasulullah SAW menyarankan supaya pertunangan yang dijalinkan itu dirahsiakan. Tujuannya agar maruah dan nama baik kedua-dua belah pihak dapat dijaga dan dipelihara sekiranya didapati tidak wujud persefahaman atau keserasian antara mereka yang terlibat. Ataupun, perkahwinan tidak dapat dilangsungkan atas sebab-sebab yang munasabah menurut syarak.

Sebagai agama yang menekankan soal adab dan akhlak, maka seharusnya tempoh pertunangan dilalui dalam jangka masa yang munasabah, kerana ia dapat memberi masa yang selesa kepada kedua-dua belah pihak untuk membuat penilaian dan keputusan. Sekalipun pembatalan pertunangan perlu dilakukan oleh sebelah pihak, namun seelok-eloknya biarlah ia dilakukan secara berhemah dan beradab serta dilakukan awal sebelum pihak satu lagi membuat sebarang persediaan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Namun, sekiranya pembatalan pertunangan atau mungkir janji untuk berkahwin dibuat tanpa alasan munasabah, apatah lagi sebelah pihak telah pun membuat persediaan untuk mengadakan majlis pernikahan, maka berdasarkan peruntukan undang-undang yang dinyatakan sebelum ini, pihak yang dimungkiri janji boleh membuat tuntutan ganti rugi melalui Mahkamah Syariah.

Ganti rugi yang akan ditaksirkan oleh pihak mahkamah adalah berdasarkan kepada segala perbelanjaan dan persediaan yang telah dilakukan oleh pihak berkenaan berhubung dengan majlis perkahwinan tersebut. Pihak yang mungkir janji juga bertanggungjawab untuk memulangkan semula segala hadiah pertunangan yang diterima, sekiranya ada. Dan jika barang tersebut sudah tiada atau lupus umpamanya makanan atau barang kosmetik yang telah digunakan, maka ia perlu ditaksirkan dan dibayar menggunakan wang sebagai ganti rugi.

Dalam kes Aishah lawan Jamaluddin (1978), pihak lelaki telah mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan. Aishah menuntut pembayaran mas kahwin berjumlah RM25, belanja kahwin RM800 dan mendakwa dia berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan. Kadi Besar Kedah ketika menjadi hakim bagi kes berkenaan telah membuat keputusan dengan memerintahkan pihak Jamaluddin untuk membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan dan Aishah juga berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan yang dihadiahkan kepadanya. Selain itu, hakim juga memerintahkan supaya Jamaluddin membayar kos baju pengantin kepada Aishah yang telah disiapkan untuk perkahwinan dan juga RM400 sebagai pembayaran untuk membaiki rumah yang dilakukan khusus bagi persediaan majlis perkahwinan.

Dalam kes Salbiah Othman lawan Haji Ahmad Abdul Ghani (2002), pihak perempuan sebagai pihak yang telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan ganti rugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan. Dalam tuntutan Salbiah terhadap ganti rugi keaiban, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak permohonan beliau kerana percaya bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tuntutan atau permohonan ini dan Mahkamah Tinggi Sivil adalah forum yang lebih layak untuk membicarakannya. Ini disebabkan hal tersebut berkaitan dengan ganti rugi am kerana keaiban, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan sebagainya.

Bagaimanapun, pihak mahkamah telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan yang merangkumi barangan runcit dan basah.

Rumusan kepada perbincangan ini adalah satu pengajaran kepada kita supaya tidak melakukan satu-satu perkara mengikut kepentingan sendiri semata-mata tanpa memikirkan perasaan dan kesejahteraan orang lain apabila ia melibatkan sebarang janji. Bagi mereka yang dimungkiri janji, ubatilah hati dan kekecewaan dengan inti pati hadis Rasulullah SAW yang memberi maksud bahawa: "Orang-orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara-perkara yang mereka telah bersetuju." Maksud ini membawa nilai bahawa kesedihan mereka dibayar dengan perlindungan undang-undang sebagaimana yang telah disyariatkan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url