Kes Liwat Anwar Ibrahim - Anwar gagal mohon hakim tarik diri
Mohamad Zabidin yang membuat keputusan itu mendapati Anwar gagal menunjukkan wujud kemungkinan sebenar berat sebelah dalam keputusannya ketika menolak permohonan tertuduh berhubung laporan dan gambar disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 4 dan 5 Februari lalu.
Katanya, sebelum beliau boleh menarik diri daripada mendengar kes itu, perlu ada fakta yang boleh membuat seseorang yang berfikiran waras berfikir wujud kemungkinan sebenar hakim membuat keputusan bukan berdasarkan keterangan di mahkamah tetapi atas pertimbangan lain.
"Selepas meneliti hujah dan afidavit difailkan kedua-dua belah pihak, saya tidak nampak bagaimana seseorang yang berfikiran waras akan berfikiran sedemikian.
"Oleh itu saya dapati tidak ada sebab bagi membolehkan saya menarik diri daripada terus mendengar kes ini. Jika saya menarik diri dalam keadaan demikian, ini bermakna saya lari daripada tanggungjawab saya sebagai seorang hakim.
"Seseorang hakim yang sudah mengangkat sumpah jawatan semestinya tidak boleh mengelak diri dari menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya. Dalam keadaan demikian permohonan ini ditolak," katanya.
Mohamad Zabidin kemudian menetapkan pada 25 Mac ini bagi sebutan kes bagi membolehkan mahkamah lebih tinggi memutuskan isu berkenaan selepas dimaklumkan peguam Anwar, Karpal Singh pihak pembelaan akan memfailkan rayuan.
"Jika Mahkamah Rayuan bersetuju saya patut menarik diri, maka keseluruhan keterangan yang didengar oleh saya perlu dipadamkan. Keputusan Mahkamah Rayuan mengikat mahkamah ini, maka kes ini akan disebut semula sementara menunggu Mahkamah Rayuan," katanya.
Terdahulu sebelum Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Karpal untuk menangguhkan perbicaraan berlaku pertikaman lidah di antara Karpal dan Peguam Cara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berhubung dakwaan Karpal pendakwaan menyatakan pihaknya melengahkan perbicaraan itu. Permohonan Anwar supaya Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes itu yang difailkan pada 8 Februari lalu berbangkit daripada keputusannya (Mohamad Zabidin) yang menolak permohonan Karpal supaya mahkamah mengeluarkan perintah menghina mahkamah dan amaran kepada akhbar Utusan Malaysia.
Perintah itu dimohon berhubung artikel, gambar dan keterangan gambar disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 4 dan 5 Februari lalu yang didakwa Karpal tidak tepat dan berniat jahat.
- BERITA HARIAN