Kisah Unta Nabi Saleh

Nabi Saleh seorang yang tabah dalam menyampaikan dakwah. Dalam proses dakwahnya itu, baginda ditentang hebat oleh kaum Tsamud yang degil. Kaum itu telah melakukan berbagai-bagai usaha untuk menjatuhkan Nabi Saleh termasuklah untuk membunuhnya.

Mereka juga menyebarkan berita bahawa Nabi Saleh seorang ahli sihir dan pembohong.

Kaum Tsamud yang degil itu tidak percaya dan tidak berpuas hati dengan dakwah Nabi Saleh. Mereka tidak mengaku bahawa Nabi Saleh adalah seorang nabi dan rasul. Mereka telah meminta Nabi Saleh membuktikan kenabiannya.

"Kalau benarlah kamu diutuskan untuk menjadi seorang nabi, tunjukkanlah kepada kami satu mukjizat. Jika tidak, sudah tentu kamu adalah pembohong semata-mata," kata mereka mencabar Nabi Saleh.

Mereka menambah lagi, "Cuba kamu keluarkan seekor unta dari batu besar itu," kata mereka sambil menunjuk ke arah sebuah batu besar sambil tersenyum sinis. Mereka juga telah menerangkan sifat-sifat unta yang dikehendaki.

Kaum Tsamud cukup yakin bahawa Nabi Saleh tidak mampu memenuhi permintaan mereka itu. Sebaliknya Nabi Saleh menjawab dengan tenang.

"Baiklah, sekiranya aku dapat memenuhi permintaan kamu itu, adakah kamu akan beriman kepada Allah dan menerima ajaranku? Adakah kamu akan mengaku bahawa aku adalah utusan Allah?"

"Baiklah, kami akan beriman kepada Allah dan akan menerima segala ajaran kamu," jawab mereka.

Setelah satu persetujuan dimeterai, maka Nabi Saleh telah menunaikan solat. Baginda memohon kepada Allah agar mengkabulkan permintaannya seperti yang dituntut oleh kaum Tsamud. Baginda juga berdoa semoga kaum itu akan kembali ke jalan yang benar selepas melihat bukti tersebut.

Allah Maha Berkuasa. Dengan sekelip mata sahaja Allah telah mengkabulkan doa Nabi Saleh. Batu besar tadi telah merekah dan terbelah. Lalu keluarlah seekor unta betina yang besar. Unta itu mempunyai semua sifat yang disebutkan oleh kaum Tsamud.

Maka, tercenganglah semua kaum Tsamud yang melihat kejadian itu. Sebahagian daripada mereka mula mengakui kenabian Nabi Saleh. Salah seorang daripada mereka ialah seorang pemimpin kaum Tsamud yang bernama Junda bin Amru. Akan tetapi, sebahagian yang lain masih enggan beriman. Mereka tetap degil dan sombong.

Nabi Saleh berasa bimbang akan keselamatan unta tersebut lalu baginda berpesan kepada kaum Tsamud supaya tidak mengganggu unta itu. Mereka disuruh membiarkan unta tersebut mencari makanannya sendiri.

"Ini adalah seekor unta betina. Ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air dan kamu mempunyai giliran kamu untuk mendapatkan air pada hari tertentu."

Begitulah peraturan yang diberikan oleh Nabi Saleh kepada kaum Tsamud.

Maka, berkeliaranlah unta itu di ladang-ladang untuk mencari makanan tanpa ada sebarang gangguan. Apabila sampai masanya untuk minum, unta itu pergi ke sebuah sumur dan minum dengan sepuas hati. Pada masa itu tiada haiwan lain yang menghampirinya. Semua haiwan ternakan lain dan unta tersebut mempunyai giliran masing-masing untuk mendapatkan makanan dan minuman.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url