Top Ad 728x90

, ,

Kejayaan wanita terkaya dunia

Oleh HAFIZAHRIL HAMID
KEKAYAAN sememangnya sangat membantu manusia mendapatkan apa saja yang diingini. Sebut sahaja daripada kereta mewah, rumah besar, pelancongan merata dunia, memiliki bot mewah mahupun jet peribadi semua itu umpama barang mainan bagi mereka yang kaya.

Kekayaan juga sering digambarkan seolah-olah hak mutlak lelaki. Kurang sekali kita melihat wanita menduduki tempat tertinggi dalam struktur orang terkaya dunia. Apatah lagi kebanyakan barang mainan yang dicipta bagi golongan kaya seolah-olah didominasi oleh lelaki. Wanita hanya dianggap sebagai pelengkap kepada kejayaan seseorang lelaki. Walaupun dari segi kejayaan dalam karier, perniagaan dan peluang pendidikan mereka dilihat sudah jauh meningkat namun kedudukan wanita paling kaya di dunia masih belum mencapai tahap yang sepatutnya.

Berdasarkan kedudukan manusia terkaya dunia yang dikeluarkan oleh majalah Forbes, jumlah bilionair dunia meningkat kepada 1,011 tahun ini berbanding tahun lepas iaitu seramai 793 orang. Dari jumlah itu seramai 89 bilionair wanita tersenarai tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 17 orang atau 72 orang berbanding tahun lepas.

Lebih separuh daripada wanita yang menduduki tangga orang terkaya dunia merupakan pewaris kekayaan suami atau bapa mereka. Malangnya masih belum ada yang berjaya menduduki antara 10 tempat orang terkaya dunia. Lebih daripada itu, kekayaan mereka bukan diperoleh hasil titik peluh sendiri.

Tempat pertama wanita terkaya diduduki oleh Christy Ruth Walton isteri kepada mendiang John T. Walton. Bagaimanapun beliau hanya menduduki tempat ke 12 orang terkaya dunia. Suami beliau merupakan anak kepada pengasas pasar raya terbesar di dunia, Walmart yang meninggal dunia dalam satu nahas kapal terbang yang dipandunya sendiri pada 2005. Beliau mewarisi kekayaan suaminya yang bernilai AS$ 15.7 bilion (RM53.38 bilion) dan kini hartanya dianggar bernilai AS$22.5 bilion (RM76.5 bilion). Bagaimanapun beliau tidak terlibat secara langsung dalam operasi syarikat serta tidak menduduki ahli lembaga pengarah syarikat. Namun beliau kekal sebagai antara pemegang saham terbesar. Selain Walmart beliau juga memegang saham yang besar dalam syarikat pembuat panel solar terkemuka First Solar yang dibeli oleh suaminya sebelum kematiannya. Peningkatan kekayaannya banyak disumbangkan melalui pelaburan ini.

Tempat kedua diduduki oleh anak kepada pengasas Walmart, Alice Walton. Beliau kini mempunyai jumlah kekayaan sebanyak AS$20.6 bilion (RM70 bilion). Walmart yang diasaskan pada 1962 kini mempunyai 8,400 kedai dan pasar raya, dua juta pekerja dengan jumlah jualan tahunan bernilai AS$405 bilion (RM1.3 trilion). Beliau menduduki tempat ke 16 orang terkaya dunia.

Tempat seterusnya dimiliki oleh pewaris syarikat alat solek terkemuka L'Oreal, Liliane Bettencourt. Dengan kekayaan AS$20 billion (RM60 bilion) wanita berusia 82 tahun ini menduduki tempat ke 17 terkaya dunia. Dengan kekayaan yang dimiliki wanita berasal dari Perancis ini tidak berupaya membeli segala-galanya. Ini kerana Bettencourt tidak bertegur sapa dengan satu-satu anaknya Francoise Bettencourt- Meyers kerana perbalahan mengenai pemberian wang sebanyak AS$1.4 bilion (RM4.7 bilion) kepada seorang lelaki Francois-Marie Banier yang dipercayai kekasihnya.

Mahkamah

Mereka kini terpaksa naik turun mahkamah untuk menyelesaikan tuntutan anaknya bagi mendapatkan kembali wang yang telah diberikan kerana dipercayai Banier telah mempergunakan ibunya untuk memperoleh wang tersebut.

Senarai keempat wanita terkaya dunia diduduki oleh wanita Sweden, Birgit Rausing dengan nilai kekayaan berjumlah AS$13 billion (RM44.2 bilion). Beliau yang mewarisi kekayaan tersebut dari suaminya selepas kematiannya pada 2000 merupakan pemilik kepada syarikat pembungkusan terkenal, Tetra Laval. Perniagaan tersebut yang diasaskan oleh bapa mertuanya pada 1944 berjaya membuka lembaran baru dalam pembungkusan minuman seperti jus dan susu seperti yang dapat kita lihat hari ini. Beliau yang menduduki tempat ke 40 orang terkaya dunia telah menempatkan ketiga-tiga anaknya sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut dan kini menetap di Switzerland.

Satu-satunya wanita Asia menduduki 10 tempat teratas wanita terkaya dunia dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$12.2 bilion (RM41.4 bilion). Savitri Jindal, mewarisi kekayaan suaminya Prakash Jindal. Beliau yang meninggal dalam satu kemalangan helikopter pada 2005 merupakan taikun perniagaan besi dan tenaga di India. Keseluruhan perniagaannya kini dijalankan oleh empat anaknya Prithviraj, Sajjan, Ratan dan Naveen. Savitri kini berkecimpung dalam politik setelah memenangi pilihan raya di daerah asalnya di Haryana, India dan menduduki tempat ke 44 orang terkaya dunia.

Tempat keenam wanita terkaya diduduki oleh Abigail Johnson dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$11.5 billion (RM39.1 bilion). Abigail menduduki tempat ke 48 orang terkaya dunia. Beliau bergandingan dengan bapanya dalam syarikat pelaburan antara yang terbesar di Amerika Syarikat (AS), Fidelity Investment. Dengan keupayaan yang ditunjukkan sebagai penganalisis yang menyumbang kepada keuntungan besar syarikat, Abigail disebut-sebut sebagai pengganti bapanya apabila tiba masanya kelak.

Seterusnya wanita ketujuh terkaya yang juga menduduki tempat ke 84 orang terkaya dunia adalah Susanne Klatten dengan jumlah kekayaan AS$11.1 billion (RM37.4 bilion). Beliau yang berasal dari Jerman mewarisi saham yang dibeli ayahnya Herbert Quandt dalam syarikat pengeluar kereta terkenal dunia BMW yang menyelamatkan syarikat itu dari bankrap sedekad lalu serta beberapa saham syarikat lain.

Peras ugut

Namun di sebalik semua kekayaan yang dimiliki beliau terperangkap dengan penipuan cinta oleh lelaki yang kemudiannya memeras ugut melalui rakaman video hubungan seks mereka. Setelah tidak tahan lagi diperas ugut sehingga mengakibatkan lebih 10 juta dolar diberikan kepada bekas kekasihnya Helg Sgarbi, beliau akhirnya melaporkan kepada polis dan memenangi kes itu di mahkamah tahun lepas. Sgarbi kini dipenjara selama enam tahun.

Bagi tempat seterusnya dengan kekayaan bernilai sebanyak AS$11 bilion (RM37.4 bilion) Iris Fontbona merupakan antara orang terkaya di Chile. Mewarisi kekayaan suaminya Andronico Luksic yang meninggal pada 2005 akibat kanser, beliau turut mewarisi pelbagai perniagaan di negaranya seperti lombong tembaga, pembungkusan minuman dan perhotelan.

Bagi penggemar coklat, nama-nama produk seperti Mars, Snickers, M&M merupakan antara produk yang paling digemari. Kegilaan peminat coklat telah membolehkan Jacqueline Mars menduduki tempat ke sembilan wanita paling kaya di dunia. Dengan kekayaan berjumlah AS$ 11 billion (RM37.4 bilion) beliau merupakan pewaris generasi ketiga syarikat Mars yang diasaskan oleh datuknya pada 1911. Perniagaan yang hanya dimulakan di dapur rumah Frank Mars kini bernilai AS$30 bilion (RM102 bilion) setahun selain turut memiliki beberapa syarikat terkenal lain seperti pengeluar gula-gula getah terkenal Wringleys.

Tempat kesepuluh pula diduduki oleh pewaris syarikat Cox Entreprise yang menguasai industri media di AS, Anne Cox Chambers dengan kekayaan berjumlah AS$10 billion (RM34 bilion). Kini syarikat itu memiliki sebuah stesen televisyen berbayar, 15 stesen televisyen, 17 syarikat akhbar harian dan 86 stesen radio dengan keuntungan tahunan mencecah AS$15 bilion (RM51 bilion).

Namun satu perkara yang menarik untuk diperkatakan tentang wanita terkaya hasil usaha sendiri adalah kebanyakan mereka terdiri daripada rakyat China. Malah lebih separuh daripada 14 wanita kategori itu berasal dari China.

Antara mereka yang berjaya membuat keuntungan hasil kebangkitan ekonomi China adalah Wu Yajun yang juga wanita terkaya di China dengan jumlah kekayaan bernilai AS$3.9 billion (RM13.2 bilion). Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Longfor Properties, sebuah syarikat pembangunan hartanah memulakan kerjaya sebagai jurutera di sebuah kilang. Beliau kemudiannya memulakan perniagaan dengan membangunkan hartanah di tempat asalnya di Chongqing dan kini mempunyai hartanah di 10 bandar di China.

Bagi seorang lagi wanita yang berjaya menjadi pembekal utama perisa rokok kepada syarikat-syarikat pengeluar utama rokok di China, Chu Lam Yiu, beliau menyedari jumlah penduduk yang ramai adalah pasaran terbaik untuk menjual produknya. Kini dengan jumlah kekayaan sebanyak AS$2.1 billion (RM7.1 bilion) beliau turut terlibat dalam pelbagai perniagaan lain melibatkan barangan harian seperti produk tenusu, minuman, kosmetik, alat pencuci serta minyak wangi.

Kebangkitan peranan wanita dalam perniagaan di China timbul daripada kesedaran tentang pentingnya penguasaan ilmu yang menjadi landasan kepada bilionair wanita ini untuk berjaya. Malah stigma masyarakat negara itu yang begitu tertutup kepada pembangunan wanita terutama dalam peluang pekerjaan ternyata berubah berbanding sebelum ini. Apatah lagi dengan sokongan kerajaan yang menggalakkan kaum wanita bekerja dan membuka perniagaan sendiri menghidupkan peluang untuk mereka lebih berjaya.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90