Malaysia dikeluarkan daripada senarai masalah cetak rompak

Pertubuhan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) mengeluarkan Malaysia daripada senarai negara utama (Priority Watch List) yang mempunyai masalah cetak rompak serius.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan pertubuhan itu meletakkan Malaysia dari 2003 sehingga kini hanya dalam senarai negara (Watch List) bersama 33 negara lain berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan kerajaan selama ini telah melakukan pelbagai usaha untuk menangani masalah cetak rompak daripada terus berleluasa.

"Sepanjang 2009, kementerian berjaya merampas 1.3 juta keping cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak bernilai RM33.53 juta.

"Pada masa sama, 902 kes masalah cetak rompak telah didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan United Studios Sdn. Bhd, anak syarikat KRU Berhad di Hotel Marriot di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim.

Menurut Ismail Sabri, masalah cetak rompak mendatangkan kesan negatif yang serius kepada industri kreatif negara khususnya industri hiburan tempatan.

Beliau memberitahu, industri muzik mengalami kejatuhan mendadak sejak 1996 daripada industri bersaiz RM300 juta setahun kepada hanya bersaiz RM80 juta pada tahun lalu.

"Hanya baru-baru ini industri muzik dapat mencapai pertumbuhan positif.

"Bagaimanapun ia tidak melibatkan penjualan fizikal dalam bentuk cakera padat tetapi melalui penjualan secara digital dalam bentuk nada dering telefon yang menyumbang sekitar RM30 juta tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang mengkaji menyediakan rang undang-undang berkaitan penjagaan Akta Hak Cipta di Internet bagi memastikan industri hiburan terus diberi perlindungan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url