Malek Noor dan Ella terima anugerah


PEKAN 30 Mac 2010 - Jaguh bina badan, Datuk Abdul Malek Noor dan penyanyi terkenal, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin menyifatkan penganugerahan darjah kebesaran daripada Sultan Pahang hari ini sebagai penghargaan tertinggi setelah lebih 20 tahun bergiat dalam karier masing-masing.

Menurut mereka, penganugerahan itu membuktikan golongan atlet dan artis mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara serta modal insan.

Abdul Malek menegaskan, penganugerahan tersebut mampu menjadi motivasi kepada golongan atlet dan artis untuk terus mengembangkan bakat masing-masing dalam bidang yang diceburi.

''Walaupun penganugerahan darjah kebesaran ini bukan sesuatu yang diminta oleh golongan atlet atau artis, ia merupakan tanda sokongan golongan istana kepada kami untuk terus bekerja'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis istiadat penganugerahan pingat dan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-79 Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada upacara itu, Abdul Malek menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Ella, 43, dan seorang lagi penyanyi, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Spring menerima darjah Setia Mahkota Pahang (SMP).

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menyampaikan pingat-pingat dan darjah kebesaran kepada penerima di Balairung Seri Istana Abu Bakar.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Abdul Malek turut menasihati golongan atlet supaya mengikis sikap meminta-minta sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang yang diceburi untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Abdul Malek kini merupakan duta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menggalakkan golongan atlet menunaikan tanggungjawab membayar cukai pendapatan.

Sementara itu, Ella tidak menyangka dipilih untuk menerima anugerah tersebut pada istiadat kali ini.

Beliau menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu sejarah dalam hidupnya yang telah terbabit dalam industri seni selama lebih 20 tahun.

''Penganugerahan ini menunjukkan kerajaan dan istana memandang tinggi kepada penggiat seni seperti saya untuk terus berkarya," katanya yang terkenal dengan gelaran Ratu Rock.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • bayan
    bayan Rabu, 31 Mac 2010 pada 5:03:00 PTG SGT

    Ella,bila hendak makan nasi minyak.Pingat SMP pun dah dapat.Bila hendak dapat.........

Add Comment
comment url