Pendidikan agama atasi gejala sosial
Penasihat Islamic Relief Malaysia (IRM), Mejar Jeneral (B) Datuk Megat Mohd. Yusof Megat Mahmud berkata, pelaksanaan kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Karyawan serta Astro perlu memberi perhatian kepada isu tersebut.
Beliau berkata, dua elemen penting dalam masyarakat iaitu pendidikan agama dan kekeluargaan merupakan perkara yang sangat penting.
“Dua elemen tersebut jika dilaksanakan berupaya memberi kesedaran kepada masyarakat. Saya harap melalui kempen ini masyarakat lebih terarah untuk sama-sama melibatkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Megat Mohd. Yusof, sebagai sebuah NGO yang sentiasa terlibat dengan program amal dan kemasyarakatan, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada Utusan Malaysia dalam menjayakan kempen tersebut.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Raja Ratinam berkata, kebanyakan gejala sosial di kalangan generasi muda berlaku disebabkan kurangnya komunikasi dalam institusi kekeluargaan.
Menurutnya, kempen Kami Prihatin boleh dijadikan landasan untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya institusi keluarga diperkukuhkan.
“Golongan belia mudah terpengaruh dengan masalah sosial yang menyumbang kepada gejala seks bebas dan sebagainya jika tiada komunikasi antara mereka dengan golongan tua.
“Komunikasi memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan dan masyarakat kerana tanpanya golongan muda seolah-olah hilang panduan dan mudah terdorong untuk melakukan gejala negatif,” katanya.
Menurutnya, MIYC akan memberi sokongan dan membantu menjayakan kempen itu menerusi program Lingkaran Prihatin Komuniti.
“Program ini telah empat tahun MIYC laksanakan dan ia berkonsepkan anak angkat.
“Tumpuan utama program ini adalah golongan belia dan tujuan program ini adalah supaya golongan ini sentiasa mempamerkan nilai-nilai baik,” katanya.
- UTUSAN