Langkah pemeriksaan kenderaan sebelum perbaharui cukai wajar

Tiga juta bukan angka kecil. Angka itu mewakili 25 peratus keseluruhan jumlah kenderaan persendirian yang masih aktif dipandu sekali gus menunjukkan betapa banyaknya kenderaan yang melebihi usia 15 tahun masih digunakan di jalan raya negara ini.

Buktinya, statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyebut 12.8 juta kenderaan aktif (memperbaharui cukai jalan setiap tahun) digunakan di jalan raya. Daripada jumlah itu, 3.2 juta kenderaan layak digelar ‘kuda tua’. Memang, 15 tahun bukan satu gambaran sebenar mendefinisikan sesebuah kenderaan sebagai tua tetapi merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, kereta yang dibuat sebelum 1995 menggunakan teknologi lama dan dianggap kurang selamat.

Kurang selamat itu pula merujuk kepada kemampuan kenderaan menghadapi situasi kemalangan atau sejauh mana impak akibat sesuatu kemalangan. Pelbagai aspek disentuh termasuk sistem brek yang tidak berupaya memberhentikan kenderaan tepat masanya dan tiada sistem beg udara yang ada dalam semua kereta keluaran terkini. Kenderaan lama juga dikatakan tidak mampu menyerap hentakan ketika kemalangan, sekali gus boleh menyebabkan pemandu atau penumpang terpelanting jauh - lantas menyebabkan risiko kematian lebih tinggi.

Memang benar, bukan semua kereta baru itu elok jika tidak diselenggara dengan sempurna. Namun sekurang-kurangnya ia masih mempunyai sistem keselamatan yang berupaya melindungi pemandu atau penumpang daripada sebarang kemungkinan yang boleh berlaku tanpa diduga.

Justeru, menjadi kemestian dan tiada kompromi dalam menangani isu ini iaitu langkah segera perlu diambil dengan mewujudkan peraturan pemeriksaan kenderaan sebelum cukai jalan boleh diperbaharui terutama membabitkan kenderaan lama. Sekurang-kurangnya, ia disahkan selamat sebelum dibenarkan bergerak di jalan raya.
Lalu, apabila cadangan ini dibangkitkan, sudah ada sebelum ini rungutan mengaitkan kenderaan lama kebanyakan bertumpu di luar bandar. Ini diakui Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, yang mengatakan agak sukar melaksanakannya kerana banyak kenderaan lama digunakan ‘orang kampung’ dan ‘orang Felda’.

Namun, jika merujuk kepada statistik JPJ, lebih 600,000 daripada tiga juta kenderaan lama yang aktif digunakan berada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (346,000), Johor (381,000) dan Selangor (431,000) sekali gus menunjukkan banyak kereta lama sebenarnya berada di bandar besar.

Justeru, tidakkah ia sebenarnya lebih menimbulkan permasalahan jika tidak diselenggara kerana kesan yang dibawa kenderaan lama di bandar lebih tinggi terutama jika secara tiba-tiba rosak di tengah jalan utama, contoh Jalan Loke Yew, apatah lagi ketika hari hujan.

Penduduk di Kuala Lumpur tidak sanggup lagi berdepan kesesakan jalan raya. Biasanya kesesakan bertambah teruk jika ada kenderaan tersadai di tengah atau tepi jalan. Memang kenderaan baru juga boleh rosak tetapi bukankah risikonya lebih kepada kenderaan lama?

Malah, lebih mengejutkan apabila statistik itu juga menunjukkan ada 150,000 kenderaan berusia lebih 25 tahun (keluaran sebelum 1985) masih dipandu secara aktif di Kuala Lumpur. Isunya, adakah ia cukup sempurna dan diselenggara sebaiknya kerana sering kali juga pemandu di Kuala Lumpur terserempak dengan kereta yang hanya layak dihantar ke kedai besi buruk memecut laju di Lebuh Raya Persekutuan.

Merujuk kepada statistik Miros pula mengenai kemalangan kenderaan pada 2008, didapati ada 46 kemalangan membabitkan kenderaan buatan 1970 yang mengakibatkan tiga kematian manakala keseluruhan kemalangan membabitkan kenderaan melebihi usia 15 tahun pula adalah sebanyak 18,045 (879 kematian).

Peratusan itu mungkin kecil berbanding 192,000 kemalangan keseluruhan tahun itu tetapi menurut Ahmad Farhan, hasil kajian Miros, impak dan kesan kemalangan membabitkan kenderaan lama itu lebih tinggi serta berisiko menyebabkan kematian.
Kenderaan di Malaysia juga terus bertambah saban hari. Setakat ini lebih 19 juta kenderaan didaftarkan meskipun hanya 12.8 juta aktif di jalan raya. Berdasarkan statistik, lebih 80,000 kenderaan baru didaftarkan setiap bulan atau purata lebih 2,600 sehari.

Pertambahan kenderaan di jalan raya juga menuntut sistem aliran trafik yang lancar terutama di Kuala Lumpur yang mempunyai pertambahan kenderaan melebihi suku juta setiap tahun. Lambakan kenderaan lama yang tidak diselenggara akan menambah sengsara pengguna lain.

Justeru, suka atau tidak, semua pihak perlu akur, perlunya kaedah atau mekanisme khusus diwujudkan untuk memastikan semua kenderaan di jalan raya selamat dan mampu digunakan dengan sempurna. Cadangan JPJ untuk memeriksa kenderaan melebihi tempoh tertentu tiap kali mahu memperbaharui cukai jalan perlu dipandang sebagai satu cadangan terbaik menangani isu ini.

Namun, sekali lagi ia berbalik kepada kemampuan dan kesediaan kerajaan menyediakan kemudahan secukupnya untuk membolehkan orang ramai menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa. Tidak salah rasanya jika membuka ruang kepada bengkel terpilih menjalankan peranan itu dengan tidak sekadar memberi monopoli sepenuhnya kepada Puspakom yang hanya ada di beberapa lokasi saja di seluruh negara.

Seperti kata Fomca dan Miros, jangan ada kompromi dalam soal keselamatan. Laksana tetap kena laksana, cuma apa yang kurang perlu ditambah baik. Jangan kerap sangat batal itu dan ini lantaran desakan orang ramai meskipun sudahnya jalan raya negara menjadi lapangan besi buruk bergerak.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url