Top Ad 728x90

PNB umum agihan ASG kekal


KUALA LUMPUR 24 Mac 2010 - Seramai 6,789 pemegang unit Amanah Saham Gemilang (ASG) menikmati agihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit bagi ASG-Pendidikan manakala ASG Kesihatan pula (6.00 sen) dan ASG-Persaraan (5.00 sen).

Jumlah agihan itu adalah menyamai tahun lalu.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, sehingga 23 Mac 2010, nilai aset bersih (NAB) ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan masing-masing sebanyak RM1.0010, RM1.0411 dan RM1.0373 seunit.

Jumlah NAB itu lebih tinggi berbanding pada 31 Mac tahun lalu, masing-masing sebanyak RM0.7552, RM0.7664 dan RM0.8959, menjadikan jumlah pulangan keseluruhan ketiga-tiga tabung itu adalah 32.55 peratus, 35.84 peratus dan 28.72 peratus.

''Berdasarkan NAB pada 23 Mac 2010, ketiga-tiga tabung ini mencatatkan kadar hasil pulangan 5.81 peratus bagi ASG-Pendidikan, 6.12 peratus untuk ASG-Kesihatan dan 5,05 peratus ASG-Persaraan,'' kata Ahmad Sarji dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, sehingga 23 Mac lalu, ASG-Pendidikan telah merekodkan pendapatan kasar sebanyak RM3.28 juta.

Keuntungan penjualan saham menyumbang RM1.99 juta atau 60.7 peratus daripada pendapatan kasar manakala pendapatan dividen syarikat-syarikat pelaburan pula sebanyak RM0.94 juta. Baki pendapatan selebihnya RM0.35 juta diraih menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Bagi ASG-Kesihatan pula, PNB memperuntukan agihan pendapatan sebanyak RM2.18 juta yang akan dimanfaatkan oleh seramai 4,491 pemegang unit yang melanggan 36.4 juta unit tabung itu.

ASG-Kesihatan mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM2.63 juta sehingga 23 Mac 2010.

Keuntungan penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.52 juta daripada pendapatan kasar manakala pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat menyumbang RM0.78 juta dan pendapatan selebihnya RM0.24 juta menerusi pelaburan jangka pendek.

Firma pelaburan itu memperuntukkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.07 juta kepada 2,765 pemegang unit yang melanggan 21.4 juta dana ini.

ASG-Persaraan meraih pendapatan kasar sebanyak RM1.78 juta dengan keuntungan dari penjualan saham menyumbang sebanyak RM1.08 juta.

Pendapatan dividen syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM0.44 juta dan pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek pula menyumbang sebanyak RM0.26 juta.

Ahmad Sarji menambah, pembayaran agihan pendapatan ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG- Persaraan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan berdasarkan NAB pada 31 Mac 2010.

Semua urus niaga bagi ketiga-tiga unit amanah ASG ditangguhkan mulai hari ini sehingga akhir bulan ini.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90