Top Ad 728x90

,

Rugi RM100 juta akibat aktiviti muat turun

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menganggarkan kerugian sebanyak RM100 juta setahun berikutan kegiatan muat turun lagu secara haram di premis menjual telefon bimbit di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Ngiap Foo berkata, melalui tinjauan pihaknya tahun lalu, daripada 10,000 premis menjual telefon bimbit, hanya 600 daripadanya mempunyai lesen menjual lagu muat turun.

Menurutnya, kegiatan menjual lagu secara muat turun juga menyebabkan kebanyakan ahli RIM dan Public Performance Malaysia Sdn. Bhd. (PPM) yang terdiri daripada artis termasuk syarikat rakaman mengalami kerugian besar.

''Mana-mana pihak termasuk pemilik premis yang didapati menjalankan aktiviti menjual lagu muat turun secara haram boleh didakwa melalui Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta 1987.

''Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 bagi setiap lagu atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri (KPDNKK) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Abdul Hamid Abu Bakar.

Ngiap Foo berkata, dalam serbuan terbaru pukul 4 petang di dua buah kedai menjual telefon bimbit di Taman Johor Jaya, di sini semalam, pihaknya merampas sebuah komputer yang mengandungi kira-kira 5,000 lagu muat turun tanpa memiliki kebenaran RIM dan PPM.

''Kita berharap agar mana-mana pemilik premis mendapatkan lesen untuk menjalankan perniagaan memuat turun lagu secara sah,'' katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani aktiviti memuat turun lagu secara haram itu.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90