MPC: Penggunaan e-Perdagangan terhad
Ketua Pengarahnya, Mohd Razali Hussain berkata, sebab utamanya adalah kekurangan pemahaman berhubung e-perdagangan dan keengganan mereka untuk meninggalkan zon keselesaan.
"Ia lebih kepada isu pemikiran. Usahawan PKS tidak sedar akan kepentingan transaksi e-perdagangan dalam meningkatkan produktiviti dan mereka tidak begitu terdedah kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
"Usahawan-usahawan ini meneruskan kerjaya mereka tanpa mengguna pakai ICT kerana mereka telah berada dalam zon selesa akan kaedah yang mereka gunakan pada masa ini," kata beliau kepada Bernama selepas merasmikan seminar dan pameran Sistem Rumusan Elektronik 2010 di sini hari ini.
Sangkaan akan kos yang tinggi juga antara sebab lain mengapa PKS tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti e-perdagangan.
"Pada umumnya, mereka menerima perubahan baharu tetapi dalam rentak yang terhad kerana mereka tidak mempunyai maklumat dan tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan sistem itu. Mereka fikir sistem ICT ini mahal tetapi itu tidak benar. Jika kita lakukan dengan cara yang betul, ia tidaklah semahal mana," jelas beliau.
Razali mengulangi dengan negara terus menggalakkan PKS untuk menembusi pasaran global, penerimaan ICT adalah penting kerana dunia menjadi pasaran menerusi e-perdagangan.
"e-perdagangan menyediakan peluang untuk menyertai rangkaian pengeluaran global yang kian penting dalam banyak industri dan keupayaan untuk menembusi sumber seperti buruh, modal dan pengetahuan," tambah beliau.
Menurut kaji selidik yang dikendalikan oleh MPC dari Jun hingga Disember 2009 ke atas 296 syarikat PKS, hanya 17 peratus daripada responden telah mengendalikan transaksi e-perdagangan dalam tahun berkenaan.
Razali bagaimanapun menjangkakan tahap penggunaan pakai e-perdagangan akan meningkat antara 20 dan 40 peratus tahun ini dengan lebih banyak program kesedaran.
Beliau berkata, sektor pembuatan lebih aktif mengguna pakai e-perdagangan diikuti dengan industri perkhidmatan.
Razali berkata, dengan senario perniagaan yang berubah, PKS patut merebut peluang dengan kos yang rendah dan kemudahan internet yang lebih baik untuk menggunakan aktiviti e-perdagangan.
Beliau turut menggesa mereka untuk meningkatkan pengetahuan mengenai e-perdagangan menerusi program pembangunan kapasiti.
- Bernama