Cabaran guru bandar
Guru yang sudah terbiasa dengan jalan berturap pasti tertekan bila terpaksa melalui jalan berlopak dan meredah belantara untuk sampai ke sesuatu destinasi. Apatah lagi jika perlu bersampan atau menaiki bot tanpa jaket keselamatan.
Tiada bekalan air bersih dan air paip memburukkan lagi keadaan. Tenaga elektrik hanya bersumberkan set generator atau sel bateri basah pasti menimbulkan kesulitan.
Bangunan sekolah dan tempat tinggal yang daif memang satu cabaran untuk guru di pedalaman.
Bagaimanapun, guru di bandar juga punya cabaran tersendiri. Dalam bentuk berbeza namun amaun tekanan tetap sama.
Bagi guru bahasa, Fenty Khosny, 36, mengharungi kesesakan jalan raya setiap kali pergi dan balik sekolah merupakan cabaran utama yang membazirkan masa dan wang.
Menurutnya, dia terpaksa bangun seawal 5.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan supaya sampai ke sekolah tepat pada masanya.
"Perjalanan memakan masa selama 45 minit dari Seri Kembangan ke Gombak melalui Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2)," katanya.
Laporan Khas Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu menyatakan menggunakan MRR2 seolah-olah melalui 'zon perang' kerana keadaan jalan itu yang terdapat banyak 'periuk api' dan 'jerangkap samar' selain menyamakan keadaan jalan seperti menaiki 'roller coaster'.
Dari segi bahaya, kata ibu yang mengandung tujuh bulan ini, risikonya hampir sama dengan melalui jalan di kawasan pedalaman.
Malah mungkin lebih berbahaya kerana kadar kematian jalan raya di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia.
Situasi serupa juga dilalui oleh guru pendidikan khas, Hasri Ismail, 38, yang bersolat subuh setiap hari di surau sekolah.
Hasri yang menetap di Klang, Selangor dan mengajar di Petaling Jaya perlu keluar awal dengan menaiki motosikal biarpun memiliki kereta untuk mengelakkan kesesakan dan sebagai satu langkah penjimatan.
"Menunggang motor tidak kena tol dan lebih cepat sampai ke sekolah," jelasnya.
Bermotosikal ke tempat kerja sudah menjadi trend kehidupan di bandar dan melibatkan semua jenis profesion.
Pergi subuh balik maghrib sudah menjadi rutin harian Fenty dan Hasri.
Berbeza pula halnya, dengan Nurazlina Ahamad Thamizi, 31, yang tinggal berhampiran dengan tempat dia mengajar.
Guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi ini memberitahu, kesesakan bukan satu masalah tetapi kos sara hidup di bandar agak tinggi dan membebankan.
"Segala kemudahan memang tersedia namun ia datang dengan kos," ujarnya.
Kata Nurazlina, barang keperluan harian dan upah pengasuh di bandar secara relatifnya lebih tinggi berbanding dengan kawasan kampung.
Tambahnya, masalah yang sama turut membelenggu guru bandar yang tinggal di kuarters.
Kelebihan tinggal di kuarters - di desa atau kota - ialah boleh berjalan kaki ke sekolah. Cuma di kota, kereta menjadi satu keperluan menyebabkan si guru menanggung bayaran ansuran bulanan.
Hal ini tentunya memberi kesan kepada ekonomi keluarga guru di bandar berbanding di pedalaman.
Sementara itu, bekas guru, Muninah Masiran, 57, berpendapat, cabaran utama mengajar di bandar adalah memenuhi harapan ibu bapa yang mahukan prestasi akademik anak mereka pada kedudukan tertinggi.
Beliau berkata, tahap kesedaran ibu bapa di bandar tentang pentingnya pendidikan kepada masa depan anak masing-masing jauh lebih baik daripada ibu bapa di kampung atau kawasan pedalaman.
"Mereka akan mempersoalkan kewibawaan para guru jika prestasi pelajar tidak memuaskan," katanya.
Berdepan dengan ibu bapa yang 'intelektual' ini menuntut kesabaran tahap tinggi kerana jika tersalah jawab boleh menyebabkan pertelingkahan atau kes diheret ke mahkamah.
"Masalah disiplin ada di mana-mana dan memerlukan kebijaksanaan para guru untuk menyelesaikannya," jawab Muninah ketika disoal perbandingan kes salah laku pelajar di bandar dan di pedalaman.
Namun, bagi penuntut tahun akhir jurusan Pendidikan Dalam Sains (Fizik), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farizatul Shima Hashim, faktor disiplin pelajar menjadi cabaran utama kepada dirinya.
Pengalaman menjalani latihan mengajar selama enam bulan di sebuah sekolah di Subang Jaya, Selangor membuatkan dia membatalkan hasrat menjadi guru dan beralih cita-cita menjadi pensyarah.
"Ketika mengajar dalam makmal hanya pelajar barisan depan sahaja yang menumpukan perhatian manakala yang lain tidak ambil peduli malah membuat bising hingga mengganggu perjalanan kelas," ceritanya yang akan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan Ph.D.
Mungkin susuk tubuhnya yang kecil molek dan usianya yang masih muda serta status guru pelatih menyebabkan pelajar kurang menghormati Farizatul Shima.
Walau apa pun, senario dan situasi yang dilalui oleh guru tidak kira di mana mereka mengajar memang mencabar dan perlu dihargai sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau melalui ucapan terima kasih cikgu.
- UTUSAN