KUIS perkenal Mahasiswa pencipta kerjaya

Dalam menghadapi masa depan yang semakin mencabar di samping isu pengangguran di kalangan graduan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) meletakkan matlamat menjadikan mahasiswanya sebagai pencipta kerjaya.

Pelajar yang mengikuti pengajian di KUIS akan dipatenkan untuk menjadi seorang pelajar yang berkualiti, diperlukan oleh ma-syarakat dan pasaran pekerjaan dengan memiliki sifat amanah, berkemahiran dan berketerampilan supaya menjadi warganegara bertanggungjawab, profesional dan dinamik serta mampu mendepani masa depan.

Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Alumni) KUIS, Mohd Khairi Hussin, berkata KUIS menyasarkan pelajar yang mempunyai kekuatan akademik di samping memberi latihan kemahiran insaniah dan pendedahan dalam bidang keusahawanan.

“KUIS menawarkan 48 program membabitkan peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana dengan menyasarkan jumlah pengambilan pelajar seramai 3,500 orang sehingga September depan,” katanya.

Bagi pelajar lepasan SPM yang mempunyai sekurang-kurangnya lima kepujian boleh memohon mengikuti program Asasi.

Pelajar layak ikuti program pengajian Asasi mendapat keistimewaan dengan ditaja sepenuhnya untuk tempoh tiga semester pengajian di bawah Dana Biasiswa Rektor.
Lima program ditawarkan di bawah program Asasi iaitu Pengajian Asasi Pengurusan, Pengajian Tahun Asas Bahasa Arab, Pengajian Asas Komunikasi, Kursus Asas Pengajian Islam dan Pengajian Asas Teknologi Maklumat.

“Bagi pelajar yang layak mengikuti program Asasi, KUIS menaja pelajar dari segi yuran pengajian, penginapan dan wang saku sebanyak RM500 untuk setiap semester.

“Pelajar program Asasi adalah feeder untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda dan sehingga kini KUIS sudah mengambil dua pengambilan pelajar untuk program ini.

“Pelajar yang mengikuti program ini menunjukkan pencapaian yang baik untuk melayakkan mereka mengikuti program pengajian Sarjana Muda bagi tempoh tiga hingga empat tahun,” katanya.

Sementara program Sarjana Syariah (Pengurusan) adalah pengajian terbaru diperkenalkan oleh KUIS yang ditawarkan di bawah Pusat Pengajian Siswazah.

Program Sarjana Syariah (Pengurusan) adalah untuk mereka yang terbabit secara langsung dalam bidang agama tetapi ia digabungkan dengan peringkat profesional.

Di bawah Pusat Pengajian Siswazah juga menawarkan Program Sarjana Pengurusan Perniagaan (Muamalat) yang sudah membuat dua pengambilan sebelum ini.

Program pengajian ini adalah bersifat bersepadu di antara program profesional dan Ulum Naqli terutama dalam bidang pengurusan dan profesional yang lain dengan digabungkan dengan nilai keislaman khusus dalam bidang Muamalah (pengurusan, perbankan, perniagaan dan berkaitan dengannya).

Program ini disertai mereka yang bekerja dengan mengikuti pengajian untuk meningkatkan tahap profesional mereka.

Sebagai sebuah Institusi Pengajian Islam yang berkualiti dan diyakini, KUIS bukan saja menumpukan pengambilan pelajar dari dalam negara, tetapi juga pelajar dari negara seperti Thailand, China, Indonesia, Arab dan negara dari Eropah Timur seperti Kazakhstan, Uzbekistan dan sekitarnya.

Pelajar dari Selangor yang cemerlang berpeluang mendapat derma siswa daripada Majlis Agama Islam Selangor, manakala pelajar lain boleh memohon mendapatkan pembiayaan dari Mara dan Tabung Pengajian Tinggi Pelajaran Negara (PTPTN).

Bagi pelajar yang berminat mengikuti pengajian di KUIS, permohonan masih dibuka dan boleh dibuat dengan cara mengisi borang atau secara atas talian dengan mengemukakan salinan kelayakan akademik.

Maklumat lanjut, layari laman web www.kuis.edu.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url