Maxis siar Piala Dunia 2010

MAXIS Bhd akan menawarkan siaran secara langsung semua 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia Fifa 2010 secara percuma kepada lebih 12 juta pelanggannya selepas memperoleh hak eksklusif sebagai penyiar mudah alih rasmi kejohanan itu.

Ketua Operasinya, Jean-Pascal Van Overbeke, berkata bermula 11 Jun hingga 11 Julai ini, semua pelanggan Maxis mempunyai pilihan menonton kejohanan itu itu menerusi aliran video secara dalam talian menggunakan komputer atau telefon bimbit.

Katanya, semua 64 perlawanan kejohanan itu akan disiarkan secara langsung menerusi telefon bimbit, termasuk berita terkini mengenainya menerusi SMS, MMS atau video pendek perlawanan, manakala bagi tontonan secara dalam talian, pelanggan hanya dapat menyaksikan 26 perlawanan saja secara siaran langsung, manakala bakinya siaran ulangan.

“Semua siaran itu ditawarkan secara percuma kepada pelanggan Maxis. Apa yang perlu mereka lakukan hanya mengakses ke platform Maxis dalam telefon bimbit mereka manakala bagi aliran video dalam talian, mereka perlu mendaftar masuk ke laman web kami.

“Siaran secara aliran video ini ditawarkan pada kualiti 400 kilobit sesaat (kb/s) namun tidak semua 12 juta pengguna boleh menonton serentak berikutan terdapatnya had data, jadi pengguna yang lebih awal akan diutamakan,” katanya pada sidang media mengumumkan kejayaan Maxis memperoleh hak penyiaran mudah alih dan kandungan kejohanan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Sepanjang tempoh kejohanan, Maxis turut menawarkan aplikasi istimewa kepada pengguna telefon pintar iPhone, BlackBerry dan telefon pintar Android lain yang meliputi aplikasi berita terkini, keputusan perlawanan, profil negara, maklumat tempat acara dan data sejarah.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url