Membentuk tingkah laku anak-anak
Dalam mengatasi pelbagai masalah sosial, ibu bapa sebagai pendidik paling awal dalam kehidupan seseorang individu perlu memainkan peranan penting. Ini kerana pada hari ini, remaja terdedah kepada pengaruh negatif yang begitu luas melalui pelbagai medium.
Didikan awal yang diberikan oleh keluarga di rumah pada hari ini perlu menjadi panduan yang berguna kepada anak-anak sehinggalah mereka meningkat remaja dan dewasa.
Tanpa didikan awal yang berkesan, remaja akan mudah terpengaruh dengan pelbagai budaya tidak sihat sehingga berlaku masalah buang bayi yang semakin serius kebelakangan ini.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Zaman Khan berkata, peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam memberikan didikan awal kepada anak-anak.
''Sejak dari kecil, kanak-kanak perempuan perlu diingatkan bahawa kehormatan diri mereka perlu dijaga dan tidak terjerumus dalam pelbagai kegiatan tidak sihat yang tidak diterima agama dan budaya.
''Begitu juga dengan kanak-kanak lelaki, mereka juga perlu dididik dari kecil supaya tidak terpengaruh dengan gejala najis dadah, sebarang kegiatan berunsurkan jenayah dan sebagainya," katanya kepada Utusan Malaysia.
Zaman Khan menambah, didikan awal yang berkesan mampu menjadi benteng kepada seseorang remaja untuk mengawal diri daripada terpengaruh dengan anasir yang bertentangan dengan budaya dan agama sepanjang masa.
''Melalui didikan awal yang berkesan, remaja berkenaan dapat membezakan perkara yang baik dan buruk dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan diri dan masa depan mereka," katanya yang juga Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC).
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa didikan agama juga ada kalanya tidak boleh menjamin seseorang tidak akan terjebak dalam masalah sosial.
''Kita pernah terbaca berita ada guru agama yang ditangkap mencabul atau merogol dan sebagainya. Memang tidak ada jaminan bahawa didikan agama mampu mengawal seseorang itu daripada gejala negatif.
''Namun, kita perlu faham dunia sekarang sudah begitu bebas dan pemikiran sesetengah orang juga sudah berbeza. Pasti ada golongan yang sudah cukup didikan agama dan sebagainya tetapi masih tergelincir dan terjebak dalam kegiatan tidak sihat," katanya.
Jelas beliau, baru-baru ini terdapat laporan paderi mencabul budak dan ia merupakan satu contoh bahawa mereka yang dihormati dari sudut agama juga mempunyai risiko untuk terperangkap dalam masalah sosial.
Zaman Khan menambah, pada pandangan beliau, tidak semua gejala buang bayi yang dilaporkan di negara ini berpunca daripada seks bebas.
''Dalam menerapkan nilai-nilai moral di kalangan remaja, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak mereka supaya tidak meniru kehidupan artis-artis barat yang mengamalkan budaya bersekedudukan sehingga mendapat anak sebelum bernikah.
''Artis barat berkenaan kemudiannya menjadikan anak-anak luar nikah tersebut sebagai saksi pernikahan mereka. Ini adalah satu budaya yang tidak sihat dan remaja kita perlu diingatkan supaya menolak dan tidak mengagung-agungkan cara hidup seperti itu," katanya.
Beliau menambah, ibu bapa juga perlu mengingatkan anak-anak sejak kecil bahawa pergaulan yang terlalu bebas adalah satu perkara yang tidak diterima agama dan masyarakat.
''Pada pandangan saya, pendidikan seks bukanlah pendekatan terbaik dalam mengatasi masalah sosial seperti gejala buang bayi. Ini kerana di negara maju yang memberikan pendidikan seks kepada remaja, peratus remaja perempuan yang melakukan pengguguran juga sangat tinggi.
''Pengetahuan mengenai seks selamat mungkin berguna, namun ia tidak mudah diterima dalam masyarakat kita kerana ada yang menganggap pendidikan seks selamat seperti pencegahan kehamilan seolah-olah menggalakkan budaya seks sebelum nikah," jelas Zaman.
Beliau menambah, ibu bapa dan masyarakat, perlu bersama-sama mendidik remaja supaya dapat mengawal diri daripada terjebak dalam pelbagai kegiatan tidak sihat.
''Pada masa yang sama, masyarakat jangan terus menolak dan menghina gadis yang terlanjur dan hamil. Ini bagi memastikan kes buang bayi tidak terus meningkat," katanya.
- UTUSAN