Mohd. Noor cipta rekod mendaki ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari
RANAU 20 April - Mohd. Noor Mat Amin hari ini mencipta rekod baru apabila berjaya menyempurna pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari selepas lebih tiga bulan menempuh pelbagai cabaran untuk menjayakannya.
Dia menamatkan pendakian terakhir ke-111 hari ini di Gerbang Timpohon, Taman Kinabalu dekat sini pada pukul 11.50 pagi setelah bertolak dari puncak pukul 7.20 pagi ini bersama jurupandu, Safrey Sumping.
Ketibaannya disambut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Penolong Ketua Pengarang 1, Zaini Hassan; dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Kassim Mansor.
Mohd. Noor kemudian dikalungkan bunga oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan yang mewakili kerajaan Sabah dalam satu majlis meraikannya yang dihadiri lebih 100 mahasiswa dan kakitangan UMS.
Dia juga menerima sumbangan peribadi daripada Datuk Musa Aman sebanyak RM20,000 sebagai menghargai usahanya mengharumkan nama negara.
Kejayaan tersebut melayakkan namanya dicatat dalam Malaysia Book of Records dan projek tersebut merupakan usaha pertama seumpamanya yang dilakukan di negara ini.
Mohd. Noor ketika ditemui pemberita, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berjaya menyempurna Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 dalam keadaan selamat dan menepati jadual asal.
Jurugambar Utusan Malaysia itu berkata, kejayaan tersebut bukan untuk dirinya tetapi seluruh rakyat Malaysia sekali gus membuktikan anak tempatan mampu mencipta rekod luar biasa.
"Kejayaan ini membuktikan rakyat Malaysia mampu mencipta rekod yang selama ini dilakukan oleh orang Barat dan membuka sejarah baru di negara kita," katanya.
Pada 31 Disember lalu, Mohd. Noor, 43, memulakan misinya menawan puncak gunung itu sebagai fasa pertama projek tersebut sebelum memulakan fasa kedua iaitu mendaki Menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam masa seminggu.
Pendakian di menara tersebut akan bermula dari 8 hingga 14 Mei ini dan selepas itu nama Mohd. Noor layak untuk dimasukkan dalam Guinness World of Records.
Projek itu bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia keseluruhannya mengambil masa selama lima bulan.
Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo tanpa henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).
Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan UMS.
Mohd. Noor berkata, dia lega apabila mampu mengatasi semua cabaran mental, fizikal dan keadaan cuaca walaupun keadaan tubuh badannya sedikit lemah dan terjejas.
Kesan pendakian tanpa henti itu, katanya, tapak kakinya merekah, lutut dan kaki bengkak selain kulit mengelupas tetapi dia tidak pernah menyesal dengan keadaan tersebut.
"Saya bangga mampu menamatkan pendakian ini walaupun sebelumnya terdapat segelintir pihak yang sinis dan tidak yakin," katanya sambil merakam penghargaan kepada UMS dan kerajaan negeri atas segala sokongan dan bantuan.
Sementara itu, Kassim ketika berucap berkata, usaha tersebut hanya mampu dilakukan oleh mereka yang bersemangat waja dan 'orang luar biasa' sepertinya.
Usaha itu, katanya, akan mempopularkan lagi sukan lasak di negeri ini selain dapat melahirkan keyakinan khasnya generasi muda bagi mencapai cita-cita yang diimpikan.
Projek tersebut, katanya, menaikkan martabat nama Malaysia di persada dunia lebih-lebih lagu sukan lasak masih tidak begitu menonjol di negara ini.
Sementara itu, pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin akan dicadang sebagai Duta Gunung Kinabalu bagi menghargai sumbangannya mempromosi Gunung Kinabalu melalui Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan tersebut secara dasarnya sudah pun dipersetujui Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Kebudayaan Sabah.
"Menterinya, Datuk Masidi Manjun akan membawa cadangan ini ke peringkat tertinggi kerajaan negeri. Ini kerana melalui usaha yang dilakukan, Gunung Kinabalu semakin terkenal.
"Hampir setiap hari kita lihat nama Gunung Kinabalu dipaparkan dalam Utusan Malaysia dan TV3 dan ini merupakan satu promosi," katanya ketika berucap pada majlis penutupan projek tersebut di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu dekat sini hari ini.
- UTUSAN