Helikopter pengganti Nuri diterima 2012
Naib Presiden (Pelanggan) Eurocopter Perancis, Philippe Harache berkata, sekiranya semuanya berjalan lancar, Malaysia akan menerima unit terakhir pesawat itu iaitu yang ke-12 pada 2013.
Katanya, komitmen Malaysia mendapatkan EC725 membuka lembaran baru dari segi perhubungan di antara kerajaan itu dan Eurocopter.
''Kami sangat gembira dan berbangga dengan komitmen Malaysia dan sudah pasti akan muncul kerjasama baru pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang penyerahan surat penerimaan (LOA) kerajaan terhadap 12 unit helikopter mencari dan menyelamat EC725 kepada Eurocopter pada satu majlis yang disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pagi ini.
Harache menambah, seramai lapan juruterbang TUDM akan menjalani latihan pengendalian pesawat itu di Perancis pada masa hadapan sebaik sahaja kontrak di antara kedua-dua pihak dimeterai.
Dalam perkembangan sama, katanya, Malaysia juga akan menerima faedah daripada perjanjian itu menerusi pemilihan Subang sebagai pusat pembuatan, penyenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) Eurocopter sedikit masa lagi.
"Pusat MRO itu juga akan dilengkapi dengan mesin simulasi helikopter Eurocopter bagi latihan para pengguna pesawat keluaran syarikat kami di sekitar Asia," jelasnya.
- UTUSAN