Pameran Keranda di Muzium Negara


Manusia yang paling bijak atau cerdik di dunia ini adalah mereka yang sering mengingati mati." Demikianlah pesanan Rasulullah SAW dengan maksud yang sangat mendalam.

Untuk mengingati mati ini pula, terdapat dengan pelbagai cara. Terutama digalakkan melihat kematian malah menziarahi tanah perkuburan itu sendiri.

Ini tentunya bagi menimbulkan keinsafan dan kesedaran bahawa setiap manusia akan mati. Walau cuba berselindung di sebalik tembok yang tebal sekalipun, ajal tetap akan menjemput pulang.

Jadi apakah persediaan kita untuk menghadapi mati? Maka dalam sebuah hadis lain Rasulullah menyebutkan; "Berkerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati keesokan hari."

Justeru, melihat sendiri 'kematian' yang dirakam dan dipamerkan, seperti yang baru berlangsung di Muzium Negara, Jalan Damansara Kuala Lumpur tidak sepatutnya dilepaskan oleh orang ramai.

Pameran Keranda, Tradisi dan Misteri yang berlangsung dari semalam sehingga 20 Jun di muzium itu membawakan kepada para pengunjung suatu suasana dan merasakan sendiri mengenai hakikat kematian.

Sekurang-kurangnya memberikan banyak pengetahuan yang sangat meluas mengenai aspek-aspek kebudayaan yang berkaitan dengan pengamalan pengkebumian khususnya dengan bahan yang utama iaitu, keranda.

Usaha pihak muzium untuk mengadakan pameran yang cukup bermakna itu harus dipuji. Ini kerana ia melibatkan tugas-tugas yang sangat mencabar untuk mendapatkan bahan-bahan pameran yang melibatkan kematian dan keranda itu sendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail berkata, bagi tujuan penyelidikan sahaja, pihak JMM perlu mengambil masa selama tiga bulan. Tugas yang paling mencabar ialah apabila perlu mendapatkan bahan pameran yang melibatkan tradisi kalangan Orang Asli di negara ini.

"Kita terpaksa pergi ke kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang bagi menurunkan peralatan kematian dari atas pokok. Ini kerana mereka menjadikan dahan-dahan utama pokok sebagai tempat persemadian terakhir untuk si mati.

"Tetapi sesukar manapun keseluruhan proses mendapatkan bahan mengikut adat resam Orang Asli itu, penceritaan di sebaliknya adalah sangat menarik untuk kita kongsi bersama," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Pameran itu juga adalah sangat berkaitan dengan sejarah tamadun awal manusia. Ini apabila kita saksikan sendiri bagaimana artifak-artifak pengkebumian yang ditemui di tapak-tapak prasejarah seperti di Lenggong, Perak; Kuala Selinsing, Gua Cha di Kelantan dan Gua Niah di Sarawak itu merupakan satu penemuan 'pintu masuk' kepada sejarah manusia.

"Ia melibatkan tradisi-tradisi yang diamalkan sejak 1,100 tahun dahulu. Semua ini dapat kita lihat sendiri di Pameran Keranda," kata Ibrahim.

Selain bahan-bahan pameran tempatan, ia juga mempamerkan segmen-segmen tradisi kaedah pengkebumian dan keranda dari beberapa negara Asia Tenggara yang lain.

Ini termasuklah keranda Toraja, Indonesia, keranda kayu balak dari Thailand dan Kerusi dan Takar Kematian dari Filipina.

"Kesemua bahan-bahan dari luar ini sangat menarik untuk kita pelajari ditambah lagi kita bawakan juga elemen-elemen suasana sebenar sebagaimana di tempat asal mereka," katanya.

Para pengunjung tidak perlu bimbang mengenai bau busuk mayat atau sebarang bunyi-bunyian yang menyeramkan tetapi yang penting minda mereka akan dibawa meneroka dengan lebih jauh mengenai kepelbagaian amalan dan kebudayaan melibatkan kematian dan fungsi-fungsi keranda.

"Namun yang lebih menarik lagi, kita akan mengadakan juga acara atau demonstrasi-demonstrasi pengurusan dan pengkebumian jenazah mengikut kaum-kaum yang ada di negara ini.

"Umat Islam dengan cara dan kaedah mereka yang tersendiri. Begitu juga kaum India dan Cina serta bumiputera lain mengenai tradisi masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab terakhir terhadap si mati.

"Apabila ada demonstrasi seperti ini, ia tentu merupakan satu lagi pengalaman menarik kepada para pengunjung," kata Ibrahim.

Kerusi Mayat, Tempayan Manunggul, Keranda Gantung, Perjalanan Roh, Posisi Mayat Melengkung atau Mengiring, Mayat dan Tembikar-tembikar di kaki, Pengkebumian Perahu, Tempayan, Keranda Pasak (Kuku Kambing) dan Keronda Erong. Kesemua istilah-istilah itu boleh ditemui di sepanjang pameran itu. Untuk mengetahui lebih lanjut dan kisah-kisah yang 'mengujakan' di sebaliknya maka kunjungi pameran ini.

Ini seperti yang ditegaskan oleh Ibrahim, JMM mahu menjadi sebahagian institusi pendidikan yang penting kepada para pengunjung sama ada rakyat tempatan mahupun pelancong asing.

"Walaupun melibatkan kematian, keranda sering menjadi simbol kepada pelbagai misi perjuangan. Kunjungi sahaja pameran ini, pelbagai rahsia mengenai keranda dapat kita ketahui," kata Ibrahim.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url