Pengalaman manis - Aznil

Oleh AZNIL NAWAWI

ASSALAMUALAIKUM!

Alhamdulillah atas kurniaan trofi Pengacara TV Lelaki Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 Ahad lalu buat kali yang ke-7 daripada Allah SWT, berkat sokongan penyokong Paknil yang tidak berbelah bagi.

Seperti yang Paknil ucapkan di atas pentas, hanya Tuhan yang dapat membalas jasa baik pengundi kerana tidak jenuh mengundi nama ini.

Tidak terbayang di minda Paknil akan kegigihan pengundi membeli akhbar setiap hari memangkah, memotong dan mengirimkan buat Paknil dan kawan-kawan. Begitu juga pada mereka yang bersusah payah menghantarkan SMS untuk mengundi. Sanggup berbelanja lebih untuk memastikan orang yang mereka sokong berjaya.

Paknil doakan juga agar ada di antara pengundi Paknil akan memenangi hadiah yang dijanjikan oleh penganjur dan Berita Harian sebagai pembaca bertuah. Paknil tahu memang ramai yang ikhlas mengundi dan bukan semata-mata untuk memenangi hadiah yang dijanjikan tetapi Paknil tetap akan doakan agar kini giliran anda pula menjulang hadiah.

Paknil sebenarnya begitu gembira dengan kejayaan ini kerana Paknil sudah merasakan ada calon finalis dalam kategori itu yang mula memberikan saingan sengit. Kegembiraan Paknil kerana selama setahun sejak kemenangan tahun lalu, Paknil bekerja keras untuk memastikan kerja Paknil diterima ramai. Cukup takut jika hasil kerja Paknil tidak menunjukkan anjakan.

Pesan Paknil kepada rakan calon yang lain agar jangan putus asa dan terus bagi saingan sebab Paknil tidak mahu diulit mimpi dan hanyut. Paknil berjanji akan terus memberikan saingan kepada kalian agar jika kalian berjaya nanti, kalian dapat rasakan betapa manisnya kejayaan itu.

Itulah yang Paknil rasakan bila pertama kali diumumkan pemenang untuk kategori ini pada tahun 2003. Paknil sudah puas menjadi pemerhati kepada pemenang lain dan Paknil memasang iltizam untuk menjadi seperti mereka. Untuk menjadi seperti mereka, Paknil percaya ia bukannya datang bergolek dan melayang. Ia sememangnya disertakan dengan usaha keras.

Suatu yang sukar untuk memaksa orang menyukai kita dan sanggup pula memangkah untuk kita. Ia bukan kerja sehari dua malah ia memakan masa. Bermula sebagai pengacara Pop Kuiz yang berimejkan remaja, Paknil sering dikaitkan dengan kontroversi.

Pengalaman itulah yang mendewasakan Paknil. Semua komen negatif dan pujian Paknil akan ambil kira. Pada mana yang perlu, Paknil akan berubah mengikut kehendak ramai. Paknil kena sedar, Paknil sentiasa dipandang selia oleh peminat sebab mereka mahukan yang terbaik, baik dari segi pekerjaan mahupun peribadi.

Inilah realiti kehidupan seorang seniman. Kita menjadi hak masyarakat dan kita juga perlu akur dengan perjalanan hidup kita yang sering pendapat reaksi berbeza. Sangat berbeza dengan pekerjaan profesional yang lain. Pekerjaan ini bukan sekadar menitik beratkan kualiti kerja tetapi juga kualiti peribadi kita.

Kalau suka, mereka puji secara terbuka dan begitu juga jika mereka benci. Paknil begitu tertampar dengan apa yang berlaku di Arena of Stars ketika berlangsungnya acara gilang gemilang ini. Ada calon ‘diboo’ penonton secara terang-terangan!

Paknil sangat malu dengan kejadian yang berlaku. Paknil tak tahu mana nak letakkan muka ketika itu walaupun ia tidak berlaku pada Paknil. Paknil juga turut bersimpati dengan individu berkenaan kerana jika dia tahu perkara ini akan berlaku, pasti dia tidak akan menghadirkan diri.

Paknil tertanya juga apa motif penonton lakukan itu? Memang jauh berbeza dengan tuntutan budaya kita yang sentiasa memelihara aib orang lebih-lebih lagi di khalayak. Paknil juga tertanya sama ada penonton yang melakukan perlakuan seperti itu merasa bangga ketika dan sesudah apa yang mereka lakukan? Peminat selalu salahkan artis yang tidak tahu melayan mereka. Namun setelah melihat apa yang berlaku, Paknil tertanya pula adakah betul perbuatan 'boo' itu dan kenapa mereka menghalalkan perbuatan mereka itu?

Perkara sebegini memang tidak pernah berlaku sebelum ini dan Paknil terperanjat kenapa agaknya pada kali ini peminat begitu berani sebegitu rupa? Budaya mana yang mereka ceduk ini dan jika tidak dibendung, Paknil yakin ia akan diterima pakai sebagai cara terbaik untuk memalukan artis. Lebih daripada itu, Paknil yakin ia akan diguna pakai untuk majlis anugerah lain.

Paknil ingin ingatkan peminat bahawa kehadiran kami di majlis itu adalah atas dasar menghormati jemputan penganjur dan juga menghormati pilihan pengundi. Jika kami dilayan sebegitu, jangan salahkan kami jika ada di antara kami menarik diri dari menyertai acara sebegini. Jika ia boleh berlaku pada dua insan itu, Paknil yakin ia juga boleh berlaku pada artis lain termasuk Paknil.

Apa yang Paknil tidak dapat bayangkan adalah bagaimana ia berlaku pada Paknil pula nanti. Paknil pasti akan rasa tersangat malu dan diaibkan di khalayak sebegitu rupa. Bagaimana dengan perasaan anak-anak dan keluarga yang menonton di rumah?

Adakah peminat sudah hilang pertimbangan sehingga berlaku kejam pada kami?

Paknil yakin tidak semua orang menyukai Paknil dan tidak semua orang boleh terima kehadiran Paknil. Paknil lebih berterima kasih kepada orang yang tidak menggemari Paknil agar mengambil langkah tidak menyorak dan bertepuk pada Paknil berbanding memalukan Paknil sebegitu rupa.

Paknil sendiri kini mula terpancar di minda untuk menarik diri daripada bertanding kerana Paknil rasa aib yang bakal ditempuhi adalah harga yang sangat mahal yang akan Paknil bayar nanti.

Paknil sudah bekerja begitu keras untuk berada di tahap ini dan telah terlalu lama menghambakan diri pada bidang ini dan sudah tentu tidak mahu maruah Paknil dipijak-pijak sebegitu rupa.

Perkara ini akan terus terakam dalam sejarah pembabitan seseorang artis itu dan seboleh mungkin Paknil tidak mahu perkara yang sama tercatat dalam lipatan sejarah kerjaya Paknil.

Terutama di hujung-hujung kerjaya Paknil ini, Paknil tentu mahu selesaikan tanggungjawab dengan kenangan yang elok-elok belaka. Paknil berada di tahap ini pun atas sokongan peminat sendiri dan Paknil rasa jika nanti peminat tidak menyokong lagi atau berubah cita rasa sekali pun, janganlah sampai diperlakukan demikian.

Paknil mohon sangat agar peminat kembali kepada budi kita lebih-lebih lagi kita mempunyai pelbagai cara untuk menyuarakan pendapat. Paknil tahu ramai peminat yang begitu senang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka melalui forum dan blog di Internet.

Sebelum Paknil berhenti menulis, Paknil ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sangat prihatin mengambil tahu keadaan Paknil setelah mengalami situasi kehilangan rakan sekerja Paknil. Terima kasih kepada peminat yang tidak henti memberi kata semangat untuk Paknil kembali bertugas dan meneruskan kehidupan.

Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Era kerana memahami keadaan Paknil ketika ini dan tidak langsung mendesak. Paknil cuma tercari-cari punca terbaik untuk menerima hakikat Paknil mungkin bekerja sendirian atau bekerja dengan rakan setugas yang baru atau akur untuk lupakan terus dunia radio dan berikan tumpuan kepada kerja-kerja di TV.

Paknil bukan ingin bermain tarik tali dengan sesiapa tetapi Paknil ingin utamakan apa yang terbaik untuk Paknil. Paknil bukan semakin hari semakin muda. Bekerja di awal pagi memerlukan komitmen yang tinggi dan selama lebih setahun Paknil bekerja bersama arwah Din, Paknil berikan yang kadang-kadang di luar kemampuan Paknil.

Untuk meneruskan kerja seperti dulu, terasa seolah Paknil bermula semula dari kosong.

Paknil berdoa agar Tuhan memberikan petunjuk agar senang Paknil membuat keputusan. Seboleh mungkin, biarlah keputusan itu menyenangkan semua pihak – pengurusan radio, pendengar, keluarga dan Paknil sendiri. Insya-Allah.

Wassalam.

- H.METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url