Kumpulan Baju Merah berikrar usir Abhisit


Anggota Baju Merah menunjukkan peluru berhampiran kereta perisai yang ditinggalkan tentera di jalan raya Bangkok, semalam.


BANGKOK: Penunjuk perasaan Baju Merah Thailand kini berikrar mengusir Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva supaya tinggal dalam buangan di luar negara, seperti juga bekas pemimpin yang mereka sokong, Thaksin Shinawatra.

Mereka menyatakan azam baru itu selepas pertempuran menyebabkan 21 terbunuh dan 874 lagi cedera sejak kelmarin, keganasan politik terburuk sejak 18 tahun lalu yang terhenti selepas anggota keselamatan berundur.

Penyokong Baju Merah yang kebanyakan penduduk luar bandar dan menyokong Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera 2006, terus menuntut Abhisit membubarkan Parlimen dan meninggalkan negara itu.

“Abhisit mesti tinggalkan Thailand. Kami minta semua pegawai kerajaan berhenti berkhidmat dengan kerajaannya,” kata pemimpin Baju Merah, Veera Musikapong, kepada penyokongnya.

“Kami mahu Abhisit letak jawatan serta-merta,” kata seorang lagi pemimpin kanan protes, Nattawut Saikuar. Mereka akan adakan sesi berkabung atas mereka yang terkorban serta berikrar tidak berputus asa dalam kempen menentang Abhisit.

“Masa untuk rundingan sudah tamat. Kami tidak akan berunding dengan pembunuh,” kata Weng Tojirakarn, seorang lagi pemimpin Baju Merah.
Sementara itu, Pusat Penyelesaian Situasi Kecemasan (CRES) berkata, penunjuk perasaan membawa senapang dan bom ketika pertempuran di persimpangan Khok Wua.
Jurucakap kerajaan, Panithan Wattanayakorn pula mengumumkan di televisyen jam 2.50 petang semalam bahawa tentera berundur dari Rajdamnoen.

Abhisit pula kecewa dengan keganasan berterusan hingga mengakibatkan kematian yang termasuk jurugambar Jepun, Hiro Muramoto, 43.

Panithan berkata, agensi ketenteraan berkaitan akan memeriksa persenjataan mereka untuk menentukan jumlah senjata dirampas penunjuk perasaan ketika pertempuran dan menegaskan tentera tidak melepaskan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan sebaliknya menembak ke udara.

Jurucakap CRES, Kolonel Sansern Kaewkamnerd berkata pada sidang media di televisyen perlu mengenakan tindakan keras terhadap Baju Merah kerana mereka semakin ganas.

– Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url