Top Ad 728x90

,

Program Pengunjung Bertuah Khas hargai inisiatif pelawat Minggu Saham Amanah

Permodalan Nasional Bhd (PNB) menganjurkan Program Pengunjung Bertuah Khas sebagai penghargaan kepada pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 yang sedang berlangsung sehingga 26 April ini di padang letak kereta, Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak.

Menerusi program berkenaan, PNB akan memilih pengunjung bertuah berdasarkan lima kriteria iaitu ibu mengandung, insan istimewa, warga emas, pengunjung bertongkat atau berkerusi roda kerana kecederaan serta ibu bapa yang membawa anak melebihi empat orang.

Pengunjung bertuah berkenaan akan diberikan sehelai borang penebusan cenderamata untuk dilengkapkan dan ditukarkan dengan cenderamata di kaunter cenderamata berdekatan pintu keluar MSAM 2010. “Program seumpama ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan PNB kepada pengunjung MSAM 2010 yang datang kerana mahu mendapatkan ilmu pengetahuan pelaburan walaupun terpaksa berdepan sedikit kepayahan dan kesukaran,” kata jurucakap program itu semalam.

Seramai tiga pemenang pengunjung bertuah merangkumi kelima-lima kategori berkenaan akan dipilih oleh ahli kumpulan kerja PNB setiap hari, dan berpeluang menerima hamper bernilai RM50 sepanjang berlangsungnya pameran MSAM 2010.

Seorang pengunjung bertuah kategori warga emas, Wan Dahlan Tengku Hamid, 73 tahun dari Kampung Baru Kota Samarahan yang ditemui semalam berkata, beliau mula melabur dengan membuka akaun pertamanya, Amanah Saham Bumiputera sejak tahun 1981.

Katanya, menerusi ASB beliau dapat membiayai pengajian anak-anaknya termasuk seorang daripadanya yang kini dalam tahun terakhir di universiti tempatan.
"ASB telah membantu saya dalam menguruskan kewangan sekaligus mengelakkan diri daripada terjerumus kepada pinjaman along.

“Malah dengan mengikuti program Minggu Pelaburan Bersama Kumpulan PNB yang sebelum ini diadakan Kuching, sedikit sebanyak meningkatkan pengetahuan mengenai pelaburan dan perancangan kewangan," katanya.

Sepanjang MSAM 2010, sebanyak 13 syarikat dalam Kumpulan PNB turut memberi sokongan termasuk Malayan Banking Bhd (Maybank), UMW Holdings Bhd, MMC Corporation Bhd, Sime Darby Bhd, I&P Group Bhd, Chemical Company Malaysia Bhd (CCM) dan Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Syarikat lain termasuk MNRB Holdings Bhd, NCB Holdings Bhd, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Pernec Corporation Bhd serta Takaful Ikhlas Sdn Bhd.

Selain itu, 50 syarikat daripada kalangan anak syarikat dan syarikat pelaburan PNB, badan kawal selia, agensi kerajaan, ejen Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan syarikat persendirian dari Sarawak turut menyertai pameran itu.

Bertemakan 'Pemangkin Pelaburan 1Malaysia' MSAM 2010 menawarkan hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 untuk dimenangi pengunjung, yang diagihkan menerusi pelbagai aktiviti harian, seperti e-Peraduan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90