Rabu, April 21, 2010

Tambah pelaburan PNB dengan CIMB Clicks

Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan CIMB Bank Bhd melancarkan kemudahan menambah pelaburan dalam dana Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) menerusi perbankan dalam talian, CIMB Clicks.

Kemudahan itu yang dibuka untuk lima dana amanah saham berharga tetap yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), dilancarkan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 yang sedang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata lima dana yang pelaburan tambahannya boleh dibuat menerusi cimbclicks.com.my ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Malaysia (ASM), Amanah Saham Didik (ASD), Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1Malaysia). Katanya, pengenalan perkhidmatan secara dalam talian baru itu sejajar inisiatif berterusan PNB dalam menyediakan lebih banyak saluran kemudahan kepada pemegang akaunnya.

“Semasa PNB bermula pada 1980-an, kami memperkenalkan sistem berkomputer menerusi Pos Malaysia dengan perbelanjaan sendiri bagi membolehkan semua rakyat Malaysia mempunyai akses mudah kepada pelaburan walaupun di kawasan terpencil.

“Kini, kami memperkenalkan pula perkhidmatan dalam talian dengan matlamat mewujudkan masyarakat pelabur yang peka dengan mengurangkan halangan mereka untuk melabur,” katanya selepas pelancaran perkhidmatan itu yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pelaburan minimum adalah RM1 dan maksimum adalah bergantung kepada had pembelian pelabur dan jumlah dana dalam akaun pelabur,” katanya sambil menambah bayaran perkhidmatan sebanyak RM1 akan dikenakan bagi setiap transaksi bergantung kepada jumlah dalam akaun.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, pemegang akaun hanya boleh mengemaskini buku akaun masing-masing di pejabat ASBN atau 1,681 cawangan ejen CIMB Bank, RHB Bank, Maybank dan Pos Malaysia di seluruh negara pada keesokan harinya selepas pengesahan transaksi dilakukan.

- BERITA HARIAN

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts