Sukhoi boleh guna pangkalan Gong Kedak
BESUT 10 April - Kementerian Pertahanan menyangkal dakwaan bahawa Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Gong Kedak dekat sini, mengalami masalah sehingga tidak dapat digunakan untuk penempatan pesawat pejuang Sukhoi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pangkalan itu akan dijadikan salah satu daripada pangkalan udara penting di Pantai Timur.
Beliau berkata, sememangnya ada masalah berlaku pada peringkat awal apabila seketul batu mengenai enjin pesawat namun ia merupakan satu kejadian terpencil.
"Kerajaan merancang untuk membina sebuah terminal di sini yang akan mengawal penerbangan pesawat Sukhoi selain pesawat pengangkutan seperti CN235 dan Charlie serta helikopter.
"Terminal ini dirancang dibina kerana tidak ada kemudahan seumpama ini di sini dan pembinaannya dijangka dijalankan di bawah Rancangan Malaysia ke-10," ujarnya ketika ditemui selepas melakukan lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Udara Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Radzali Daud.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa laman blog yang menyatakan landasan di pangkalan tentera udara itu mengalami masalah infrastruktur.
Ahmad Zahid turut menghabiskan masa selama 50 minit menaiki pesawat Sukhoi dan berlegar-legar di ruang udara Terengganu dan Kelantan.
Beliau melahirkan keyakinan terhadap kemampuan pesawat Sukhoi sebagai aset terbaik pertahanan udara negara selain anggota kumpulan teknikal dan juruterbangnya.
"Sukhoi merupakan pesawat terbaik yang telah kita perolehi dan ia akan menjadikan pertahanan udara barisan hadapan kita yang terbaik," ujarnya.
Dalam pada itu, Radzali berkata, pengoperasian penuh Sukhoi akan mengalami sedikit kelewatan ekoran masalah teknikal berhubung integrasi peralatan dari Barat yang dimiliki oleh pasukan keselamatan tersebut.
"Tiada tarikh tetap untuk melaksanakan pengoperasian penuh pesawat ini.
"Kita akan dapatkan bantuan daripada tentera udara India berhubung beberapa peralatan dan senjata yang masih perlu dilaksanakan," katanya.
- MINGGUAN MALAYSIA