Cecil Street ke Chan Sow Lin

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Jalan Chan Sow Lin bukanlah sebuah kawasan elit di Kuala Lumpur. Tetapi jalan ini begitu popular dan sering menjadi sebutan kerana wujudnya sebuah bangunan dua tingkat di nombor 46M, Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin.

Premis di nombor 46M ini bukanlah pencakar langit tetapi ia sangat signifikan dengan kelangsungan gerakan nasionalisme menuntut, mengisi dan menghayati kemerdekaan.

Di sinilah letaknya ibu pejabat organisasi media Utusan Melayu yang diperbadankan tahun 1938 di Singapura dan setahun kemudian terbit edisi pertama akhbar Utusan Melayu. Akhbar Utusan Melayu bertulisan jawi yang menemui khalayak pada 29 Mei 1939 mencari mercu tanda baru gerakan menuntut kemerdekaan berpusat di Singapura.

Bangunan ibu pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin telah diwartakan sebagai bangunan warisan. Sekalipun tidak dibangunkan dengan senibina yang unik atau bercirikan tempatan, nilai warisan bangunan ini terletak kepada dokongannya sebagai institusi Melayu. Di bangunan yang dibina tahun 1958 ini merakamkan banyak peristiwa bersejarah negara; cabaran pascamerdeka, rusuhan kaum 13 Mei 1969, mogok pekerja Utusan Melayu 1961, banjir besar melanda Kuala Lumpur tahun 1971 dan banyak lagi.

Bangunan ini juga menaungi wartawan serta pekerja lain yang sangat komited, mereka merakam sejarah bangsa dan pada masa yang sama melontarkan idealisme untuk mengubah nasib bangsa dan negara. Begitulah besarnya signifikan bangunan yang mempopularkan Jalan Chan Sow Lin.

Tanpa bangunan ini, Jalan Chan Sow Lin tidak dikenali seperti sekarang ini. Jalan ini tidak ada apa-apa keistimewaan. Dengan fizikalnya yang sangat buruk sejak dulu hingga kini, Utusan Melayu telah membuatkan orang melupakan buruknya Jalan Chan Sow Lin. Sebaliknya Jalan Chan Sow Lin lekat di ingatan kerana adanya Utusan Melayu.

Bangunan nombor 46M ini adalah titik kedua Utusan Melayu selepas di Cecil Street, Singapura sejak ditubuhkan pada 1938 hingga 1958.

Nombor 46M tercatat dalam sejarah apabila semua Perdana Menteri; Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkunjung ke sini.

Seperti bangunan di Jalan Chan Sow Lin, satu lot rumah kedai di Cecil Street ini juga membawa signifikan yang besar dalam sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan. Di situlah nasionalis-nasionalis yang juga wartawan Utusan Melayu merancang gerak saraf menyakinkan orang Melayu bahawa Malaya pasti merdeka.

Dalam suasana di mana segelintir orang Melayu tidak percaya Malaya mampu mencapai kemerdekaan daripada penjajah British, premis di Cecil Street inilah pusat gerak saraf membangkitkan semangat orang Melayu.

Dalam ruang pejabat yang sempit di Cecil Street, wartawan-wartawan berjiwa besar tidak pernah berfikiran sempit atau menyempitkan pemikiran orang Melayu zaman penjajah. Di situlah tokoh besar dunia kewartawanan seperti A. Samad Ismail, Ishak Mohamad, Rahim Kajai, Usman Awang dan banyak lagi bukan sekadar makan gaji tetapi terpaksa makan hati untuk menyedarkan orang Melayu.

Memang benar, kecil atau besar ruang operasi bukanlah indikator untuk melihat keberkesanan agenda mengubah pemikiran bangsa. Tetapi premis atau ruang operasi juga membawa lonjakan imej yang tersendiri kepada organisasi, apa lagi yang berpengaruh seperti Utusan Melayu. Kita terpaksa realistik tentang pentingnya persekitaran berkerja yang selesa untuk melahirkan hasil kerja yang hebat.

Khamis lalu selepas berpindah dari Cecil Street ke Jalan Chan Sow Lin, Utusan Melayu sekali lagi melangkah dan melonjakkan wajah dengan pembinaan bangunan baru di Jalan Enam off Jalan Chan Sow Lin. Ini ditandai dengan acara ringkas tetapi sangat bermakna, acara pecah tanah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran Najib mengingatkan sejarah silam 1972 apabila ayahanda beliau bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak merasmikan bangunan tambahan Utusan Melayu.

Bangunan baru Utusan Melayu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2013. Sebenarnya bangunan baru ini satu kebanggaan, bukan saja kepada warga Utusan Melayu malah rakyat seluruhnya. Utusan Melayu telah melonjakkan imej selepas sekian lama meniup keberanian sebagai penyebar fikiran rakyat. Bangunan baru ini juga akan memayungi generasi pelapis yang melangsungkan legasi keberanian Utusan Melayu pada alaf baru. Di sinilah juga menjadi kelangsungan Utusan Melayu menyampaikan suara pembaharuan ke seluruh kota dan desa.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url