Bina kekuatan menangi hati Muslim

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Pelbagai alasan diberikan oleh beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) berikutan kekalahannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu. Pemimpin MCA secara lantang berkata kekalahan tersebut sebagai pembuka mata atau eye-opener kepada BN supaya mengkaji dasar-dasarnya selama ini.

Saya yakin ia ditujukan kepada UMNO. Sepatutnya, MCA diam-diamlah dahulu, buat post-mortem dan muhasabah diri. Ini tidak, asyik menyalahkan orang lain. Pada saya, MCA tidak layak untuk memberi komen sedemikian, cerminlah diri sendiri dahulu. Adakah kita terlalu baik? Adakah benar dasar-dasar hari ini menyisihkan bukan Melayu secara total? Jangan kata dulang paku serpih, mengatakan orang dia yang lebih. Berterus teranglah, MCA lebih suka DAP menang daripada SUPP. Siapapun yang menang, semuanya ibarat adik-beradik. Parti ultra kiasu dan sekutunya amat yakin bahawa kemenangan ini adalah jalan menuju kepada penguasaan Petrajaya dan Putrajaya. Kita boleh berangan-angan tetapi biarlah berpijak di bumi yang nyata. Jangan seperti Mat Jenin. Akhirnya, bukan sahaja kecewa, tetapi terlepas segala-galanya.

Semua sedia maklum bahawa kawasan bandar yang dipenuhi oleh ramai pengikut ultra kiasu. Bandar raya tetap akan membangun walaupun sesiapa jua ahli Parlimennya. Sibu bernasib baik kerana telah dijanjikan peruntukan 18 juta kepada sekolah Cina, begitu juga dengan peruntukan pembangunan lain. Kes yang sama berlaku ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor. Maknanya, apa pun yang berlaku di bandar, mereka tidak rugi apa-apa walau sedikit pun, malah dapat bertambah banyak.

Saya masih tertunggu-tunggu bantuan untuk sekolah agama dan sekolah kebangsaan di luar bandar seperti Sekolah Kebangsaan Sungai Ranggam dan Kota Stia di Seberang Perak, tanah tempat tumpah darahku. Bila saya balik kampung baru-baru ini, hati begitu hiba. Keadaannya amat daif dan menyedihkan. Bilakah peruntukan akan sampai ke sana? Tunggu pilihan raya kecil? Sekolah tersebut tiada kemudahan komputer, bangunannya seperti hidup segan mati tak mahu. Begitulah beruntungnya tinggal di kawasan bandar. Sedih kadangkala melihat keringat pak tani, berusaha bersungguh-sungguh agar anak mereka menjadi manusia berguna, malangnya keadaan sekolah tidak menimbulkan rasa minat untuk belajar hanya kerana pak tani dan orang kampung berada di luar bandar.

Pada hemat saya jika bantuan disalurkan ke kawasan luar bandar, pasti undi tidak lari ke mana.

Tetapi jika hanya disalurkan ke sekolah seperti yang berlaku dalam dua pilihan raya kecil yang lalu, belum tentu lagi mereka akan mengundi BN. Pada mereka, masa inilah untuk menambah apa yang telah dapat, namun mengundi BN jauh sekali. Kerana pada mereka, sama ada wakil Sibu BN atau DAP, bandar akan terus membangun.

Saya sudah dapat meramalkan bahawa parti ultra kiasu akan memenangi pilihan raya tersebut, walaupun Zentrum Studies Futures Studies meramalkan BN akan menang tipis. Zentrum perlu lebih mendalami politik selain daripada pengajian media. Pilihan raya Parlimen Hulu Selangor adalah bukti kukuh betapa peranan psiki sesuatu bangsa itu perlu difahami sebelum memahami persepsi mereka. Kajian silang budaya amat penting selain daripada melihat persepsi.

Persepsi

Ini kerana, politik bukan hanya berasaskan kepada persepsi semata-mata, politik mesti juga difahami dengan psiki sesuatu bangsa itu dahulunya yang berpegang kepada prinsip more money more say, tetapi sekarang mereka menapak selangkah lagi kepada more power more say.

Pada saya, sama ada MCA, DAP, SUPP atau Gerakan yang menang di Sibu, keadaan tidak akan banyak berubah. Siapa pun yang menang, mereka tetap satu, hanya ada satu, tidak dua atau tiga. Nasib tidak menyebelahi BN disebabkan kita tidak cekap berstrategi dalam menghadapi mereka.

Pada masa sama, isu judi bola sepak yang menjadi sensitiviti umat Islam dan isu merampas kerajaan negeri yang diperintah oleh pembangkang berkumandang. Saya hairan kerana BN begitu beria-ia ingin merampas kerajaan negeri tersebut, tunggu sajalah dua tahun lagi. Biar rakyat membuat keputusan dan menghakimi. Hormatilah pilihan rakyat buat sementara ini. Gunakan wang dan tenaga untuk memperkasakan apa yang sedia ada daripada memujuk parti-parti pakatan rakyat menyertai BN. Apa yang perlu dilakukan oleh BN adalah membina kekuatan dan memenangi hati umat Islam yang menjadi majoriti. Memperkemaskan lagi kedudukan negara Islam sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana, berasaskan kepada pilihan raya kecil Sibu, Pas mendakwa bahawa ultra kiasu telah menerima konsep negara Islam yang diperjuangkannya yang pada saya jauh panggang dari api. Usahkan tanya ultra kiasu, sekutunya itupun yang diketuai oleh orang Islam pun belum tentu akan menyokong idea negara Islam Pas itu. Namun, jika begitulah kedudukannya, sudah sampai masanya UMNO mengetuai BN untuk memahamkan parti-parti komponennya akan hakikat negara Islam dalam konteks negara moden hari ini. Setelah 52 tahun merdeka, kita teramat ingin melihat UMNO dapat mempengaruhi parti komponen BN, bahawa negara Islam yang diperjuangkan UMNO berbeza dengan negara Islam Pas yang lebih menekankan undang-undang hudud semata-mata.

Jika kita tidak dapat bersetuju dengan konsep negara Islam ala Pas, bukankah lebih baik kita mulakan dengan mencari persamaan untuk melaksanakan asas-asas kehidupan beragama yang mahukan kebaikan dan menolak kemungkaran. Saya tidak nampak ada satupun agama di dunia ini yang menghalalkan judi, arak, zina, pergaulan bebas dan sebagainya. Semua agama menuntut kita sentiasa membesarkan Tuhan masing-masing dan berakhlak mengikut suruhan-Nya.

Jika asas ini dapat diterima, saya agak musykil kenapa judi bola sepak boleh menjadi isu, sedangkan kita tahu syarikat yang mendapat lesen judi tersebut adalah seorang yang amat kuat berpegang kepada Kristian.

Saya ingin menyarankan kepada pihak berkuasa supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar. Cukuplah hari ini kita sudah berserabut dengan masalah umat Islam yang terlibat dalam gejala sosial yang amat menakutkan. Tidakkah dengan bertambahnya lagi pusat judi ini akan menjadikan kita semakin parah. Walaupun kita katakan ia untuk orang bukan Islam, tetapi tidakkah kita membuat kajian bahawa betapa ramai umat Islam yang membeli nombor ekor hari ini walaupun tertulis dengan jelas, umat Islam dilarang masuk di premis tersebut.

Jika kita terus membiarkan kemungkaran ini berleluasa, yang menjadi mangsa bukannya bukan Islam walaupun mereka tidak kisah dengan perkara tersebut, tetapi hakikatnya yang akan menjadi mangsa adalah umat Islam. Saya fikir, sudah sampai masanya, BN patut mengambil pendekatan berani kerana benar, takut kerana salah. Yang putih tetap putih dan hitam tetap hitam, tanpa takut kepada sesiapa. Jika dengan prinsip ini, BN kalah juga, apa nak buat, kita serahkan kepada Allah SWT. Melayu tidak akan berpaling tadah jika UMNO mahukan Islam, walaupun tidak melaksanakan hudud. Saya cukup yakin inilah intipati gagasan 1Malaysia yang berasaskan kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.

Saya masih masih berpegang kepada pandangan selagi UMNO mahukan Islam, selagi itulah sokongan Melayu Islam tidak akan berganjak, malah akan bertambah. Namun, jika sebaliknya, semakin liberal UMNO, UMNO akan kehilangan sokongan Melayu, walaupun mungkin bukan Melayu suka dan pada masa sama belum tentu mereka akan mengundi UMNO. Begitu juga, dengan Pas, semakin liberal Pas, semakin ia mendapat sokongan bukan Melayu, tetapi dia akan kehilangan sokongan Melayu itu sendiri. Jadi, mana satu yang mesti dipilih? Kita mesti pilih yang terbaik antara dua persimpangan ini, sebab kadang kala kita tidak dapat kedua-duanya sekali.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url