China Juara Piala Thomas 2010


Indonesia bagaikan beraksi di Istora Senayan apabila mendapat sokongan luar biasa sebahagian besar 11,000 penonton yang membanjiri Stadium Putra, namun ia masih tidak mampu membantu mereka menyekat keunggulan China yang membawa pulang kejuaraan kelapan dengan kemenangan 3-0, semalam.

Kemenangan ini juga menebus kegagalan skuad Piala Uber mereka meneruskan dominasi 12 tahun berturut-turut, selepas dikejutkan oleh Korea Selatan 1-3 dalam perlawanan paling mengejutkan kelmarin.

Semalam, aksi tersendiri Lin Dan mengetuai kemenangan keempat berturut-turut buat China, sebelum Fu Haifeng-Cai Yun dan Chen Jin pula melengkapkan kemenangan negara tembok besar itu.

Lin Dan menundukkan Taufik Hidayat menerusi kemenangan mudah 21-7, 21-14. Walaupun Indonesia cuba bangkit memberikan tentangan dalam dua lagi acara, namun pada akhirnya kejuaraan tetap milik China.

Bekas juara dunia, Fu Haifeng-Cai Yung melebarkan kedudukan 2-0 selepas dipaksa berhempas pulas untuk menjinakkan juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan 25-23, 16-21, 21-12, sebelum Chen Jin bangkit dari ketinggalan untuk menghadiahkan mata kemenangan dengan mengalahkan Simon Santoso 19-21, 21-17, 21-7.

"Ini adalah kemenangan yang amat sempurna. Kami menang dengan penuh bergaya.

"Pemain kami sangat hebat. Mereka bukan saja perlu menghadapi cabaran lawan, malah beraksi di depan ribuan penonton yang memberikan sokongan kepada Indonesia

"Selepas beraksi cemerlang pada kejohanan berpasukan, kami akan mengalihkan tumpuan kepada kejohanan individu pula. Sasaran kami sekarang adalah memastikan momentum ini tidak terhenti," ujar ketua jurulatih China, Li Yongbo.

Piala Thomas disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Ini adalah kejuaraan Piala Thomas kelapan buat China selepas turut memenanginya pada 1982, 1986, 1988, 1990, 2004, 2006 dan 2008.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url