DAP rampas kerusi Parlimen Sibu

DAP merampas kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Wong Ho Leng, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, dan calon Bebas, Narawi Haron, pada pilihan raya kecil semalam.

Ho Leng menang dengan majoriti 398 undi. Beliau memperoleh 18,845 undi manakala Hui Yew mendapat 18,447 undi. Narawi pula hanya meraih 232 undi dan hilang wang deposit. Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, pada jam 10.57 malam tadi di Dewan Suarah di sini.

Sejumlah 37,919 atau 70 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar mengundi di 45 pusat pengundian.

Bilangan itu lebih tinggi berbanding 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,235 undi, mengalahkan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga dalam pertandingan tiga penjuru.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url