Hati Nabi SAW dibersihkan

dan Mikraj mencatatkan banyak peristiwa penting yang ditempuhi dan dilihat oleh Rasulullah SAW. Semuanya diperlihatkan kepada baginda dengan jelas, bukannya untuk tatapan mata semata-mata.

Sesetengah riwayat mengatakan pada malam tersebut, nabi SAW berada di samping Kaabah sebelum dikejutkan oleh malaikat Jibrail untuk mengajak baginda menempuh peristiwa ini.

Ada yang mengatakan baginda sebenarnya berada di rumah isterinya, Ummu Hani sebelum dibawa ke Kaabah.

Di situ baginda dikatakan menjalani proses pembersihan hati seperti yang pernah dilalui sewaktu kanak-kanak, iaitu sewaktu dalam jagaan ibu susuannya, Halimatussaadiah. Mungkin juga proses ini adalah pertama dilalui baginda.

Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibrail (dikatakan malaikat Mikail juga turut serta dalam proses itu) lalu dikeluarkan hati yang kemudiannya dicuci dengan air zamzam dan dibuang ketul hitam daripada hati tersebut.

Ia disebut juga sebagai 'alaqah, ketulan yang menjadi tempat syaitan membisikkan godaan dan menimbulkan perasaan was-was terhadap manusia.

Setelah selesai dada baginda dicantumkan semula dan diletakkan khatimun nubuwwah sebagai cap kenabian baginda.

Baginda kemudiannya menaiki kenderaan khas dari syurga, iaitu Buraq untuk melalui perjalanan jauh tetapi perlu dihabiskan dalam satu malam.

Dengan ditemani malaikat Jibrail yang menjelma sebagai manusia, baginda memulakan perjalanan ke Baitulmaqdis, di Palestin untuk ke Masjid al Aqsa.

Namun di beberapa tempat dikatakan baginda diarah berhenti dan sembahyang sunat dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan adalah:

- Negeri Thaibah (Madinah atau Yathrib), iaitu negara yang bakal baginda melakukan hijrah dan mendirikan negara Islam pertama di sana.

- Bukit Tursina, Mesir iaitu lokasi Nabi Musa a.s menerima dan bertemu dengan Allah.

- Baitul Laham, tempat Nabi Isa a.s dilahirkan oleh ibunya Siti Maryam.

Sepanjang perjalanan ke Masjidil Aqsa ini iaitu dalam kederasan Buraq, baginda diperlihatkan dengan pelbagai gambaran antara langit dan bumi, antaranya:

- Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah diberitahu Jibrail: "Itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Baginda juga terbau yang sangat harum. Jibrail memberitahu: "Itulah bau dari kubur Mashitah (tukang sikat rambut anak-anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak mereka (termasuk bayi yang dapat bercakap meminta dirinya dicampakkan ke dalam kawah minyak yang menggelegak panas untuk menguatkan iman si ibu) yang kesemuanya dibunuh oleh Firaun kerana tidak mengakui Firaun itu tuhan kerana keimanan yang teguh terhadap Allah".

- Sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka akan bercantum, lalu dipecahkan lagi. Jibrail memberitahu nabi: "Itulah mereka yang berat kepala untuk bersujud (solat)".

- Sekumpulan manusia lagi, yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Lalu diberi makan api dan batu dari neraka jahanam. Rasulullah diberitahu, itu adalah balasan kepada mereka yang tidak mengeluarkan zakat harta.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: "Wanita yang sangat tua itu merupakan gambaran umur dunia ini yang sangat tua dan hanya menantikan saat-saat untuk berlaku kiamat sahaja".

Terdapat pelbagai peristiwa lain yang disaksikan oleh baginda yang kebanyakannya adalah gambaran sebenar terhadap balasan-balasan Allah terhadap amalan-amalan hambanya di muka bumi ini.

Semua gambaran itu wajar menjadi iktibar kepada kita kerana segala yang dijanjikan oleh Allah adalah benar dan tidak ada sesiapa yang akan terlepas.

Baginda akhirnya tiba di Masjid Al Aqsa lalu ditambatnya Buraq pada dinding masjid tersebut yang kini dikenali sebagai The Wailing Wall (Tembok Menangis) sebagai tanda kesedihan kaum Yahudi apabila Baitul Maqdis pernah jatuh ke tangan orang Islam. Sehinggalah mereka berjaya merampas semula pada tahun 1967 lalu dijadikan tempat ibadat yang penting bagi kaum itu.

Mereka juga mendakwa bahawa di sebalik tembok ini merupakan sebahagian tapak kuil Nabi Sulaiman dan kerja-kerja menggali terowong sedang digiatkan dijalankan bagi membuktikan dakwaan mereka itu.

Lalu apa yang berlaku pada malam itu di dalam masjid Al Aqsa yang sangat suci dan mulia itu, adalah satu perhimpunan yang sangat luar biasa sifatnya.

Dengan segala kekuasaan yang Allah miliki lalu dihidupkan semua para rasul dan nabi untuk bertemu Nabi Muhammad SAW. Para ulama menganggarkan perhimpunan itu melibatkan seramai 313 para rasul dan 24,000 nabi.

Baginda kemudiannya mengimamkan sembahyang sunat dua rakaat bersama-sama para rasul dan nabi. Ia satu jemaah sembahyang dan perhimpunan yang tidak berulang di bumi ini sebagai tanda kemuliaan yang sangat tinggi kepada Nabi SAW sebagai penghulu kepada semua rasul dan nabi.

Selepas selesai perhimpunan itu, lalu Jibrail datang membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Nabi SAW. Lalu baginda pilih susu untuk diminum.

Jibrail pun berkata: "Kamu membuat pilihan yang betul. Jika arak yang kamu pilih nescaya ramai umat kamu yang akan sesat".

Seusai itu maka bermulalah satu lagi detik yang amat bersejarah apabila tiba masanya nabi SAW diangkat ke langit untuk peristiwa mikraj pula.

Peristiwa itu membolehkan baginda menemui Allah di Sidratul Muntaha yang tiada siapa dapat mempertikaikan kebenaran pertemuan itu.

Sehingga di saat itu tugas Buraq tidak diperlukan lagi kecuali dikatakan baginda diangkat dan kemudiannya menaiki tangga yang indah dari syurga.

Nabi Muhammad dan Jibrail pun menaiki tangga ke pintu langit dunia (Pintu Hafzhah) dan sejurus melangkah masuk ke pintu langit pertama itu, baginda menemui seorang lelaki yang sosok tubuhnya sangat tinggi iaitu 20 meter.

Rasulullah melihatnya, lelaki itu akan tersenyum apabila menoleh ke kanan dan akan menangis sebaik sahaja dia menolehkan kepala ke kiri.

Siapakah lelaki itu dan mengapa dia senyum dan menangis tiap kali menolehkan kepalanya itu?

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url