Maxis sasar 80 peratus guna 3G

KUALA LUMPUR 19 Mei - Maxis Bhd. (Maxis) menyasar 80 peratus penduduk di negara ini menggunakan rangkaian 3G pada akhir tahun ini.

Menurut Naib Presiden Eksekutifnya, Mark Dioguardi, Maxis kini berjaya menarik 60 peratus penduduk menggunakan rangkaian 3G selepas usaha menaikkan taraf kelengkapannya yang disiap sepenuhnya pada Januari lalu.

"Rangkaian 3G yang dinaikkan taraf ini membolehkan kami memperluaskan komitmen agar memperkembangkannya ke spektrum baru.

"Selain itu, ia juga akan memenuhi keperluan komunikasi penduduk di negara ini dan memperkayakan kehidupan pelanggan menerusi teknologi yang dipertingkatkan," katanya pada sesi soal jawab di Menara Maxis di sini hari ini.

Maxis pada tahun ini melaburkan RM1.4 bilion dalam meningkatkan taraf rangkaian internet bagi memenuhi seramai 12 juta pelanggannya yang meliputi di negara ini dalam keperluan komunikasi.

Mark yang juga Ketua Rangkaian dan Teknologi Maxis berkata, jumlah pelaburan tersebut akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kira-kira RM4.67 juta bagi meningkatkan taraf rangkaian 2G, 3G dan perkembangan syarikat berkenaan masing-masing.

Tambahnya, beliau berharap perkembangan perkhidmatan rangkaian 3G akan menggantikan 2G dalam tempoh dua tahun depan.

"Ini kerana rangkaian 3G Maxis adalah menggunakan teknologi Internet Kelajuan Tinggi (HSPA) untuk perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar di negara ini.

"Lantaran, ia akan memenuhi permintaan rakyat Malaysia yang meningkat untuk kelajuan lebih tinggi ketika melayari Internet, menonton video atas talian memuat turun dan memuat naik fail resolusi tinggi sesuatu yang menyeronokkan tanpa batasan," katanya.

Dalam pada itu, Mark berkata, Maxis baru menerima lesen untuk percubaan Evolusi Jangka Masa Panjang, Long Term Evolution (LTE).

Katanya, syarikat itu akan bersiap sedia membekalkan perkhidmatan lebih baik menerusi teknologi LTE bagi khidmat paling baik dalam pasaran di negara ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url