Norton 360 - Perlindungan untuk gajet mudah alih
Peningkatan kadar jenayah siber hari ini telah mengundang pelbagai masalah kepada pengguna Internet sama ada menerusi medium komputer statik mahupun gajet mobiliti.
Antara yang sering dihadapi adalah seperti pencerobohan kandungan dan kehilangan data.
Sememangnya terdapat banyak perisian anti virus perlindungan komputer dijual di pasaran.
Namun, untuk fungsi keselamatan pada gajet mudah alih seperti telefon bimbit pula, ia belum dilaksanakan secara meluas.
Melihat kepada keperluan itu, syarikat global bagi penyelesaian keselamatan simpanan dan pengurusan sistem komputer, Symantec telah memperkenalkan perisian Norton 360 semua dalam satu.
Selain fungsi keselamatan dan capaian fail mudah secara dalam talian, perisian tersebut juga sesuai diaplikasikan untuk telefon bimbit android, iPad dan juga iPhone.
Untuk memastikan pengguna sentiasa dilindungi, perisian berkenaan didatangkan dengan teknologi beta sekuriti terkini iaitu sistem sokongan data jarak jauh.
Ia turut merangkumi perlindungan serangan menerusi pelayaran web serta laman rangkaian sosial.
Aplikasi teknologi yang boleh dimuat turun secara mudah itu bakal memberi perlindungan kepada dokumen, muzik, foto dan video yang disimpan di dalam peranti.
Menarik mengenai Norton 360, ia membenarkan pengguna mencapai storan secara dalam talian sama ada secara pelayaran web, memuat turun atau emel.
Menurut Pengurus Pasaran Produk Pengguna Symantec Asia Pacifik, David Hall, perkhidmatan itu akan memudahkan pengguna mengakses dokumen yang diinginkan secara mobiliti pada bila-bila masa.
''Dengan cara itu juga, pengguna akan dapat berinteraksi dengan rangkaian laman web sosial dengan lebih selamat,'' katanya.
Teknologi Norton 360 turut didatangkan dengan fungsi peningkatan prestasi komputer serta dapat menjimatkan masa.
Di samping itu, melalui aplikasi Smart Start-up pula, sesebuah aplikasi akan dapat dijalankan dengan mudah tanpa sebarang gangguan.
Perisian versi 4.0 tersebut turut menyokong penggunaan bersama sistem operasi Microsoft XP, Windows Vista dan juga Windows 7.
Norton 360 edisi biasa dijual pada harga RM229 untuk tiga pengguna dan RM119 untuk seorang pengguna termasuk ruang storan dalam talian dua gigabit (GB).
Untuk edisi premium pula, harga pasaran yang ditawarkan adalah RM279 dengan kapasiti storan 25GB.
Maklumat lanjut mengenai perisian itu boleh diperolehi daripada laman http://updatecenter.norton.com