Resipi kejayaan Pengetua Nik Nab


Pengumuman yang meminta semua pelajar Sekolah Rendah Taman Tun Dr. Ismail 1 (SK TTDI 1) turun ke dewan perhimpunan untuk pertemuan dengan pengetua sekolah, Nik Nab Sulaiman, 56, menimbulkan sedikit kebimbangan di kalangan mereka.

Seperti sebelumnya, pelajar sekolah terbabit sedia maklum jika pengetua ingin berjumpa kemungkinan ada sesuatu yang berlaku atau mereka akan menerima arahan baru.

"Saya mendapat aduan ada pelajar yang tidak berada di kantin pada waktu rehat tetapi berlegar-legar di laluan kelas dan bermain alat pemadam api. Cikgu mahu pelajar tersebut jujur dan mengangkat tangan mengaku.

"Jika enggan mengaku, cikgu akan bertanya kepada pelajar lain yang nampak kejadian tersebut dan memberitahu cikgu siapakah pelajar yang dimaksudkan. Sama ada kamu mahu mengaku atau cikgu dapat tahu daripada pelajar lain," kata Nik Nab dengan nada yang tegas.

Nik Nab merupakan Pengetua sekolah SK TTDI 1 sejak tahun 2003 sehingga kini. Baru-baru ini, sekolah tersebut diangkat sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi 2010 (SBT).

Walaupun kesalahan tersebut tidak begitu berat, Nik Nab mempunyai pandangan sendiri. Baginya, jika tiada tindakan diambil, perkara tersebut akan berulang atau keadaan akan bertambah buruk.

Model contoh

Nik Nab juga bukan berniat untuk menghukum pelajar terbabit, tetapi sekadar ingin menasihati dan memastikan pelajar-pelajarnya cemerlang baik dari segi akademik mahupun sahsiah diri.

Wanita yang berasal dari Machang, Kelantan itu juga sangat menitikberatkan daripada sekecil-kecil perkara seperti kebersihan tingkap, kelas, tandas dan sekolah hinggalah kepada sebesar-besar perkara.

Nik Nab juga kerap mengadakan mesyuarat bersama tukang cuci sekolah untuk memastikan semua pekerjanya menjalankan tugas. Beliau juga akan memastikan semua guru dan ibu bapa bersama-sama melibatkan diri dengan akademik, sahsiah diri dan aktiviti kokurikulum pelajar.

Melihat kesungguhan Nik Nab menyelesaikan isu-isu pelajar dan sekolah, justeru bukan sesuatu yang mengejutkan jika SK TTDI 1 diangkat sebagai sekolah berprestasi tinggi daripada 10,000 buah sekolah yang ada di Malaysia.

Apakah resipi kejayaan SK TTDI 1?

"Seseorang pengetua itu perlu menjadi model contoh kepada guru dan pelajarnya. Kalau boleh biar saya yang datang paling awal dan balik paling lewat.

"Selain itu, saya kena tahu secara terperinci perkembangan pelajar, guru dan sebagainya.

"Saya juga perlu menjadi salah seorang daripada tenaga pengajar dan membimbing sahsiah, minat pelajar sehingga boleh disalurkan ke aktiviti kokurikulum," katanya yang mengabdikan kerjaya sebagai pendidik selama lebih tiga dekad.

Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai watak, identiti tersendiri, unik dan menyerlah dalam semua aspek pendidikan.

SBT perlu mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan mampu bersaing di persada antarabangsa.

Kepercayaan ibu bapa

Antara sekolah yang diangkat sebagai SBT ialah 10 buah berasrama penuh iaitu Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru; Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban; Kolej Melayu Kuala Kangsar (KMKK), Perak; Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang; Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis; Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka.

Selain itu, terdapat empat buah sekolah menengah harian yang diberi taraf SBT iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya; Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Kedah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George, Pulau Pinang.

Sementara itu, terdapat enam buah sekolah rendah bertaraf SBT termasuk Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur; Sekolah Kebangsaan Zainab (2) Kota Bharu, Kelantan; Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur; Sekolah Convent Kota Taiping, Perak; Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru.

Kecintaan Nik Nab yang tinggi dalam kerjaya perguruan menyebabkan beliau melanjutkan tempoh perkhidmatan kepada dua tahun lagi.

Namun, setiap kejayaan yang diperoleh Nik Nab dalam mengangkat sekolah SK TTDI 1 menjadi sekolah terbaik, pasti ada getir yang perlu diharunginya.

"Bukan senang untuk saya mendapat kepercayaan ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa di SK TTDI 1 terdiri daripada golongan pertengahan dan atasan. Sememangnya mereka ingin melihat kemampuan guru dan pengetua sekolah terlebih dahulu.

"Saya juga berharap ibu bapa terlibat sama dengan program-program sekolah. Biar mereka tahu apa yang guru lakukan untuk pelajar. Dari situ, mereka akan sokong dan sama-sama membantu menjayakannya.

Anak kedua daripada empat beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Pulai Condong, Kelantan. Selepas itu, beliau menyambung pengajian di Maktab Perguruan Pangkalan Chepa, Kelantan selama dua tahun dari 1976 hingga 1977.

Mendapat pendedahan awal sebagai guru Bahasa Melayu dan Sejarah di Sekolah Menengah (SM) Raja Lope Nor Rashid, Tanjung Piandang, Perak, Nik Nab merupakan guru yang disayangi oleh para pelajarnya.

"Hampir setiap minggu, ada sahaja pelajar yang mengajak saya bermalam di rumah mereka," katanya yang pernah menjadi guru kaunseling, guru penyelaras peperiksaan dan guru panitia Bahasa Melayu.

Nik Nab juga pernah dilantik sebagai pengerusi guru-guru kaunseling, guru penolong kanan, pegawai penyelia bimbingan dan kaunseling untuk hal ehwal pelajar dan kini sebagai pengetua.

Selain SM Raja Lope, Nik Nab pernah mengajar di SM Pudu, Kuala Lumpur; SM Bandar Tun Razak; SK Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur dan SK Convent Bukit Nanas 2.

Namun, kejayaan SK TTDI 1 bukan terletak atas bahu Nik Nab seorang. Pengetua-pengetua terdahulu juga banyak memainkan peranan penting. Salah seorang daripadanya ialah Meriam Awang Ahmad, 62.

Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu merupakan pengetua kesembilan SK TTDI 1 dari tahun 2001 hingga tahun 2003 sebelum Nik Nab mengambil alih.

Menurut Meriam, sebelum memulakan tugas sebagai pengetua, sebelum itu beliau menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan selama dua tahun iaitu dari tahun 1996 hingga tahun 1997 di SK TTDI 1.

Mengenali pelajar

Selepas itu, Meriam ditugaskan di SK Sungai Penchala, Kuala Lumpur sehingga tahun 2001 dan di SK TTDI sehingga beliau bersara.

"Hari pertama sebagai pengetua, saya terus semak fail Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan keputusan semester akhir bagi tahun satu hingga enam. Selepas itu, saya terus mengadakan mesyuarat PIBG.

"Saya sasarkan seramai 70 orang pelajar berjaya memperoleh 5A dalam UPSR. Namun, apa yang mengejutkan saya seramai 83 orang pelajar memperoleh 5A bagi tahun 2002.

"Sekali gus SK TTDI 1 tersenarai antara lima buah sekolah yang memiliki keputusan terbaik UPSR tahun itu," katanya yang mengajar mata pelajaran Seni Lukis di lima buah kelas. Tujuannya untuk mengenali pelajar dengan lebih dekat lagi.

Sementara itu, pelajar tahun lima SK TTDI 1, Muhammad Nabil Mubarak Shah, 11, mengakui rasa beruntung kerana bersekolah di sekolah yang dianugerahkan SBT.

"Di SK TTDI 1, saya belajar 11 mata pelajaran termasuk unit beruniform, persatuan dan permainan. Antara mata pelajaran yang diambil termasuklah Kajian Tempatan, Muzik, Bahasa Arab dan Kemahiran Hidup.

"Subjek yang paling saya suka ialah Sains. Sebabnya, saya suka buat eksperimen dan bercita-cita menjadi saintis," katanya yang mahu belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh 5A dalam UPSR.

SK TTDI 1 tersenarai antara 19 buah sekolah terbaik yang berjaya mendapat pengiktirafan SBT. Sekolah tersebut dibuka pada 4 Mei 1987 dengan nama asalnya Sekolah Kebangsaaan Taman Tun Dr. Ismail.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air, nama Tun Dr. Ismail diabadikan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan warga sekolah. Seramai 668 orang murid menjadi pelajar perintis.

SK TTDI 1 adalah sekolah gred A terletak di kawasan seluas 2.4 hektar, 12 kilometer (km) dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url