Pakej baru lindung kenderaan Julai 2010

Kerajaan akan memperkenalkan pakej perlindungan kenderaan yang baru selewat-lewatnya Julai ini, dalam usaha memastikan industri insurans negara terus berdaya maju, selain mengelak kerugian sehingga RM1 bilion setahun.
Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata ketika ini, pakej baru itu masih dalam kajian Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi kerajaan memberi jaminan ia tidak membebankan pengguna, selain tidak merugikan penanggung insurans.
Katanya, sebaik menerima hasil kajian BNM itu, Menterinya akan membuat perincian sebelum dibentangkan kepada Kabinet bagi mendapat kelulusan pelaksanaan.

“Pakej perlindungan insurans kenderaan masih dalam kajian BNM yang sudah memberi taklimat kepada saya mengenainya termasuk maklum balas pelbagai pihak seperti pengamal undang-undang, pengguna dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

“Saya jangka menjelang Jun atau Julai ini, hasilnya akan diserahkan kepada Menteri untuk diperincikan sebelum dibentang kepada Kabinet bagi membuat keputusan mengenai skim yang mampu dibiayai pengguna dan pada masa sama tidak membebankan syarikat insurans.

“Negara memerlukan satu pakej baru berikutan industri insurans negara kini tidak berdaya maju akibat mengalami kerugian lebih RM1 bilion setahun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Tahun lalu, akhbar melaporkan pemilik kenderaan terpaksa menanggung beban kewangan tinggi ekoran terpaksa membeli perlindungan insurans pihak pertama selepas penanggung insurans enggan menyediakan pakej perlindungan pihak ketiga.

Isu berkenaan dibangkitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, di sidang Dewan Rakyat tahun lalu, yang mendakwa sistem insurans negara seolah-olah mempunyai unsur paksaan apabila mewajibkan pengguna membeli insurans perlindungan kereta pihak pertama.

Awang Adek menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan sudah melupakan isu ini, sedangkan ia masih lagi dalam kajian BNM terutama membabitkan isu tuntutan terlalu tinggi sehingga menyebabkan industri insurans negara tidak berdaya maju.

“Kerajaan perlu mencari formula terbaik supaya rakyat tidak menanggung beban, selain memastikan syarikat serta industri insuran negara berdaya maju,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url