Ahmad Said rombak portfolio EXCO Terengganu
Pertukaran portfolio yang tidak membabitkan sebarang pengguguran itu berkuat kuasa 1 Julai ini dan surat arahan pertukaran kepada pengerusi portfolio sudah dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.
Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam, berkata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang oleh Yahya Khatib Mohamad akan digantikan oleh Datuk Za'abar Mohd Adib sementara Yahya akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.
Portfolio itu sebelum ini dijawat oleh Ashaari Idris yang kini dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri yang sebelum ini disandang oleh Za'abar akan digantikan oleh Datuk Rahin Mohd Said.
Tempat Rahin yang sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, akan digantikan Rozi Mamat yang sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.
Pertukaran ini diharap dapat memberi pendedahan dan pengalaman baru dan ia adalah satu proses pengupayaan yang berterusan bagi barisan EXCO kerajaan negeri.
Saya percaya gandingan semua barisan EXCO yang terbabit dengan penyusunan semula ini dan yang kekal dengan portfolio masing-masing akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha kerajaan negeri untuk merakyatkan pentadbiran dan pembangunan, katanya.
- BERITA HARIAN