Top Ad 728x90

Elak keluarga bertelingkah rebut pusaka

AmanahRaya tawar khidmat bantuan rungkai kekusutan bahagi harta secara adil

Pertelingkahan antara anak beranak, isteri, bekas isteri serta adik beradik sering berlaku apabila seseorang itu meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat atau menamakan pengurus wasiat.

Subhan (bukan nama sebenar) seorang usahawan berjaya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di sebuah kelab golf. Beliau meninggalkan dua anak perempuan dan seorang bekas isteri yang diceraikan ketika masih hidup. Beliau juga mempunyai empat adik, tiga perempuan dan seorang lelaki.

Kematian mengejut arwah yang tinggal bersendirian menimbulkan pertelingkahan antara adik dengan anak perempuan simati yang tinggal bersama bekas isteri. Adik simati mengambil keputusan membahagikan barangan di rumah arwah antara mereka.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati anak perempuan arwah kerana merasakan harta mereka dirampas. Masalah mula timbul apabila ada harta arwah tidak boleh diperoleh kerana memerlukan surat kuasa.

Antara harta itu ialah wang tunai di beberapa bank tempatan, kereta, keahlian kelab golf, saham amanah serta saham CDS (Bursa Malaysia) yang turut dituntut anak perempuannya. Semua harta berjumlah kira-kira RM500,000 dan arwah turut meninggalkan hutang berjumlah kira-kira RM100,000.

Keadaan yang berlaku mendorong adik arwah mendapatkan khidmat Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) bagi membolehkan mendapatkan hak daripada harta abang mereka. AmanahRaya menjelaskan prosedur permohonan termasuk menyediakan dokumen yang diperlukan.

AmanahRaya kemudian memanggil semua waris Subhan terdiri daripada adik dan anak perempuannya untuk menyelesaikan pembahagian harta membabitkan wang tunai milik simati, wang khairat kematian, derma kematian, saham serta empat keahlian kelab golf.
Pada pertemuan itu waris bersetuju menyerahkan semua wang tunai milik simati kepada AmanahRaya untuk disimpan sementara menunggu penyelesaian beberapa isu antaranya kenderaan pacuan empat roda yang didakwa anak simati adalah hadiah pemberian bapanya yang belum sempat ditukar nama.

Isu lain, hak milik keahlian dua daripada empat kelab golf, buku akaun atas nama kedua-dua anak perempuan simati dan saham CDS (Bursa Malaysia) yang dibeli simati. Isu itu tidak dapat diselesaikan pada pertemuan yang diadakan kerana waris tidak mencapai kata sepakat sama ada hendak memindah milik atau menjual harta berkenaan.

Enam bulan selepas permohonan dibuat, kedua-dua anak perempuan simati memohon bantuan kewangan daripada AmanahRaya untuk menanggung kos sara hidup dan membayar yuran pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Bagaimanapun, permohonan itu tidak dapat dipenuhi kerana Surat Kuasa Mentadbir masih belum dikeluarkan disebabkan pengesahan dari kelab golf belum diperoleh. Sebulan selepas itu, bekas isteri simati, Sulimah, melalui peguamnya menuntut AmanahRaya menyenaraikan harta pusaka simati bagi membolehkan beliau membuat tuntutan ‘hiwalah’ atau harta sepencarian sebelum mereka bercerai.

Setahun selepas permohonan, dua daripada empat kelab golf mengesahkan mengikut peraturan kelab, keahlian simati gugur secara automatik jika penama tidak dilantik dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh kematian. Pengesahan itu menyebabkan dua daripada empat keahlian kelab gugur secara automatik.

Anak perempuan simati menuntut supaya dua lagi keahlian kelab golf diberikan kepada mereka kerana ia sebahagian harta sepencarian antara arwah dengan ibu mereka. Alasan itu tidak dipersetujui adik simati yang turut berminat memiliki keahlian kelab berprestij itu.

Selepas hampir dua tahun setengah tiada persetujuan dicapai antara dua anak perempuan dan empat adik simati, AmanahRaya mengambil inisiatif mengadakan pertemuan kedua dengan semua waris simati.

Namun, pertemuan itu menimbulkan lebih ketegangan apabila pelbagai isu berbangkit dan tiada persetujuan dicapai. Selaku pentadbir, AmanahRaya akhirnya berjaya memujuk serta menyedarkan waris untuk menyelesaikan isu itu demi kepentingan semua pihak.

Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia, dan amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Perbincangan berlangsung selama lebih dua jam dalam suasana kekeluargaan berjaya menghasilkan penyelesaian dan antara persetujuan dicapai ialah kereta yang dikatakan dihadiahkan simati kepada anaknya dipindahmilik kepada anak berkenaan.

Keahlian dua kelab golf yang masih aktif dipindah milik kepada anak perempuan, akaun simpanan amanah yang tertera nama anak dikembalikan kepada waris yang berhak, sementara semua wang tunai dibahagikan secara faraid selepas ditolak hutang dan zakat yang wajib ke atasnya.

Adik lelaki simati memperoleh 2/15 daripada jumlah wang tunai, adik perempuan (3/15) dan anak perempuannya masing-masing memperoleh 5/15 bahagian.

Proses pembahagian harta Subhan berjaya diselesaikan selepas tiga tahun kematiannya. Selain menyelesaikan perebutan harta pusaka, AmanahRaya juga berjaya menyatupadukan semula ahli keluarga Subhan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90