Pendidikan awal perlu kajian rapi
Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan pendidikan formal seawal usia lima tahun menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) nanti terhadap kanak-kanak dan bukannya enam tahun seperti sekarang.
Dalam hal ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan sistem ini akan diadakan secara berperingkat kerana pelbagai kemudahan dan prasarana perlu disediakan terlebih dulu terutama bilik darjah dan persediaan guru bertauliah.
Kita tidak pasti apakah jumlah masa belajar bagi kanak-kanak yang memasuki sekolah lebih awal ini akan ditambah menjadi tujuh tahun ataupun kekal enam tahun seperti sekarang.
Jika dikurangkan menjadi enam tahun, bermakna murid ini akan memasuki sekolah menengah lebih awal dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika masih dikekalkan pada usia 16 tahun.
Usaha membawa kanak-kanak ke arah kecemerlangan dicadangkan sejak lama dulu berdasarkan pelbagai kajian pelbagai pihak.
Pada 2006, pernah disuarakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan konsep pendidikan seawal usia dua tahun setengah hingga peringkat prasekolah. Kita tidak tahu sejauh mana cadangan ini sudah dilaksanakan kerana sudah hampir lima tahun.
Adalah sesuai jika kanak-kanak seawal usia didedahkan dengan pendidikan formal, tetapi kajian dari pelbagai aspek lain perlu diambil kira supaya apa yang dilakukan tidak hanya bergerak separuh jalan atau menemui jalan buntu. Kematangan anak sekarang jauh bezanya dengan anak zaman dulu.
Kementerian Pelajaran juga mesti memikirkan persediaan sebelum sesuatu cadangan dilaksanakan supaya setiap yang dilakukan berjalan dengan lancar dan menepati sasarannya.
Begitu juga dengan hasrat atau cadangan kementerian agar setiap murid membabitkan diri dalam satu sukan, ia turut bergantung kepada kemudahan yang disediakan.
Ramai yang berpendapat cadangan ini juga tidak akan sampai ke mana-mana jika masih ada sekolah yang tiada padang bola dan dewan untuk bersukan.
- BERITA HARIAN